suria

Jumlah Mangsa Banjir Di Sarawak Menurun, Sabah & Kelantan Kekal

Pemandangan udara limpahan banjir yang dianggap terburuk pernah berlaku di Limbang, Jumaat lalu. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Sarawak malam Ahad bertambah baik apabila jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan berkurangan sebanyak 36 orang, menjadikan jumlah terkini sebanyak 1,063.

Di Sabah dan Kelantan jumlah mangsa banjir masing-masing kekal dengan 614 dan 255 orang, seperti yang dilaporkan pada sebelah petang.

Di SARAWAK, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, kini terdapat lapan pusat pemindahan yang masih beroperasi.

Bahagian Samarahan masih menempatkan jumlah mangsa yang paling banyak dengan 490 daripada 155 keluarga, Limbang (424 mangsa, 135 keluarga), Miri (83 mangsa, 24 keluarga) dan Mukah (66 mangsa, 18 keluarga).

Di SABAH, jumlah mangsa kekal sebanyak 614 orang membabitkan 179 keluarga yang kini masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Beaufort, sebanyak 603 mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan di Membakut dan sebelas mangsa ditempatkan di satu pusat pemindahan di Beaufort.

Situasi sama direkodkan di KELANTAN apabila jumlah mangsa juga kekal 255 orang melibatkan 62 keluarga.

Jurucakap MKN Kelantan berkata, kesemua mangsa ditempatkan di lapan pusat pemindahan di daerah Kuala Krai.

Artikel Lain