suria

Bekas Tentera Cari Tunang Selepas 47 Tahun

Warren Holbrook.
GEORGE TOWN: Bekas Koperal Tentera British Kor Pergigian berusia 69 tahun kembali ke negara ini untuk mencari tunangnya yang ditinggalkan lebih 47 tahun lalu.

"Kali terakhir saya berhubung dengan Wan Jamilah Wan Hussein (Fiona) pada 24 Januari 1968 apabila saya menerima sepucuk surat daripadanya mengatakan bapanya bersetuju dengan perkahwinan kami.

"Ia adalah kali terakhir saya menerima berita daripadanya. Dia adalah cinta hati saya," kata Warren Holbrook.

Mengimbas kembali detik pertemuan dengan Wan Jamilah, Holbrook berkata mereka bertemu dalam satu majlis perpisahan di Hotel Mount Pleasure pada Jun 1967.

"Ia adalah majlis untuk rakan seangkatan saya yang berpindah semula ke United Kingdom. Kemudian dia berjalan bersama kakaknya Nora dan tiga lagi lelaki lain. Dia memikat hati saya. Saya terpukau.

"Mereka kemudiannya menari dan saya dapati dia (Wan Jamilah) duduk berseorangan. Saya mempelawanya untuk menari dan kami serasi.

"Kami menari mengikut rentak lagu Wooly Bully, nyanyian Sam the Sham & Pharaohs.

Gambar kenangan Holbrook dan Wan Jamilah yang diambil pada lewat tahun 1960.

"Bapanya (Wan Jamilah) menjalankan perniagaan teksi. Dia memiliki kereta sendiri dan apa sahaja," katanya.

Holbrook, yang kembali ke England pada 1968 selepas khidmatnya tamat berkata, kesilapan terbesarnya adalah tidak mengahwini Wan Jamilah.

"Ketika itu, perkahwinan campur jarang berlaku kerana ia tidak disukai. Juga, saya dilihat pentingkan diri sendiri sekiranya melanggar tradisi itu," katanya.

Holbrook, yang masih belum berkahwin berkata, mereka berkenalan selama lima bulan dan mengikat tali pertunangan pada Oktober 1967.

"Namun sebaik sahaja pegawai atasan saya mengetahuinya, mereka menghantar saya ke kem tentera lain di Kluang, Johor. Seorang lelaki di dalam Tentera British tidak dibenarkan berkahwin dengan rakyat tempatan pada waktu itu," katanya.

Ketika ditanya mengapa beliau mengambil masa yang lama untuk mencari Wan Jamilah, Holbrook berkata, beliau pergi ke rumah lama yang didiami keluarga tersebut di Jalan Tanjong Tokong, sembilan tahun lalu tetapi mereka tidak lagi menetap di sana.

"Saya benar-benar mahu bertemu dengannya semula," katanya.

Holbrook berkhidmat sebagai tentera sehingga 1972 dan kemudiannya memulakan tugas sebagai wakil jualan di England sehingga 1979.

Beliau kemudiannya berhijrah ke Scotland dan mengajar teknik menangkap ikan selama 20 tahun sehingga 1999.

Selepas itu Holbrook menjadi pengurus padang golf sehingga beliau bersara dua tahun lalu.

Beliau akan meninggalkan Pulau Pinang pada 23 Mac ini.

Sesiapa yang mengenali Wan Jamilah atau kakaknya Nora boleh hubungi Holbrook di talian 011-2375 1132.
Wan Jamilah Wan Hussein, Fiona

Artikel Sebelum

Artikel Lain