IFRC dalam satu kenyataan berkata Menteri dan Konsul Jeneral/Timbalan Ketua Misi Kedutaan Korea Selatan di Malaysia, Yoon Changyul, menyerahkan surat niat mengenai bantuan itu kepada ketua operasi IFRC untuk Asia Pasifik, Martin Faller, dalam satu majlis di pejabat IFRC di sini.
Dana itu akan digunakan untuk menyokong operasi bantuan yang dijalankan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), termasuk penghantaran segera penapis air bagi menyediakan air minuman bersih kepada penduduk Kampung Pasir Tumboh di Kelantan.
Katanya, barangan bantuan bukan makanan juga akan dikeluarkan dari gudang serantau IFRC di Klang bagi memenuhi keperluan komuniti yang sebelum ini tidak boleh diakses akibat banjir.
Sejak bermulanya banjir, pejabat IFRC Zon Asia Pasifik bekerjasama rapat dengan PBSM dalam menyediakan sokongan teknikal ketika fasa bantuan kecemasan serta membantu pembiayaan kecemasan menerusi Tabung Kecemasan Bencana.