PETALING JAYA: Kumpulan penggodam Lizard Squad, yang mendakwa bertanggungjawab menggodam laman web Malaysia Airlines (MAS), menyatakan bahawa ia juga bertanggungjawab terhadap gangguan Facebook dan Instagram di seluruh dunia pada Selasa. "Facebook, Instagram, Tinder, AIM, Hipchat #offline #LizardSquad," kumpulan itu menulis di Twitter pada pukul 2.36 petang (waktu Malaysia) Selasa. Pada petang Selasa, ramai pengguna Internet mengadu di Twitter tentang gangguan di Facebook dan Instagram selepas mereka tidak dapat mengakses kedua-dua laman sosial tersebut. Instagram menulis di Twitter, mengakui terdapat masalah pada laman sosial itu pada Selasa. "Kami sedar satu gangguan yang menjejaskan Instagram dan sedang berusaha untuk memperbaikinya. Terima kasih atas kesabaran anda," perkhidmatan perkongsian foto itu menulis tweet pada pukul 2.51 petang. Pada pukul 3.10 petang Facebook boleh diakses semula manakala Instagram boleh diakses pada pukul 3.20 petang. Pada Isnin, laman web MAS telah digodam oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Khalifah Siber Rasmi. Penggodam tersebut kemudian memperkenalkan diri mereka sebagai Lizard Squad, kumpulan yang mendakwa turut menggodam Xbox Live Microsoft dan Rangkaian PlayStation Sony tahun lepas.