SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa mengesahkan pernikahan madu ghaib, Azrai Izet Mohamad dan isteri keduanya, Suzieliana Zainuddin di Songkhla, Thailand pada tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Atrasina Mohd Zahrullail di Dewan 3 di sini selepas mendapati ia adalah mengikut hukum syarak.
Atrasina dalam keputusannya menyatakan, mahkamah berpuas hati rukun nikah adalah sempurna sekali gus membenarkan permohonan Azrai Izet, 39, dan Suzieliana, 37, untuk mengesahkan pernikahan itu.
Pasangan tersebut hadir ditemani Peguam Syarie, Wan Amir Akram Zainal Abdin.
Ketika diminta mengulas mengenai keputusan itu, Azrai Izet bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen.
"No komenlah", katanya ringkas.
Azrai Izet merupakan suami kepada Nor Fadzillah Mat Rahim, 39, salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, yang hilang pada 8 Mac lalu sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk ke Beijing.