suria

Dr Mahathir, Najib Tak 'berperang', Hanya Berbeza Pendapat - MT Umno

PUTRAJAYA: Pandangan dan teguran dibuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak harus dianggap kedua-dua pemimpin itu sedang 'berperang', kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata pandangan Dr Mahathir adalah membina walaupun 'pedas' dan kadang-kadang tidak bersetuju, namun kerajaan di bawah pentadbiran Najib terbuka menerima kritikan.

"Saya kira kalau kritikan itu kena pada tempat dan mempunyai asas, kerajaan sentiasa berlapang dada untuk mendengar dan membaiki apa yang patut diperbaiki.

"Kalau nak kata satu 'peperangan dahsyat' yang sedang berlaku (antara Dr Mahathir dan Najib) adalah tidak betul," katanya selepas melancarkan penjenamaan semula Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) kepada SW Corp di sini Selasa.

Abdul Rahman berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berhubung tawaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang mahu menjadi orang tengah mendamaikan Dr Mahahtir dan Najib.

Sambil memberi contoh, Abdul Rahman berkata Dr Mahathir dan Najib ketika menghadiri majlis kelihatan duduk bersama, bercakap dan berbincang.

"Saya tidak fikir wujud sebarang isu besar. Mungkin terdapat perbezaan pendapat," katanya.

Artikel Lain