KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yakin harga minyak mentah dunia tidak akan jatuh ke bawah paras AS$40 setong pada tahun ini. Beliau juga turut melahirkan keyakinan purata harga minyak mentah dunia bagi 2015 akan melebihi kajian semula unjuran purata yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini pada paras AS$55 setong. "Jika harga minyak jatuh di bawah paras AS$40 setong, syarikat pengeluar minyak tidak akan mampu menghasilkan minyak, kerana kos lebih tinggi daripada hasil. "Saya yakin Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) juga tidak akan biarkan harga di bawah paras itu," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu bagi program 'Dalam Radar' Radio24, di sini, Rabu. Ahmad turut menyentuh kenyataan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkenaan unjuran positif harga minyak mentah dunia pada separuh kedua tahun ini. Mustapa yang menghadiri mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini menyatakan para peserta forum itu bersependapat bahawa kejatuhan harga minyak dunia sekarang hanya bersifat jangka pendek dan mengunjur ia kembali pulih bermula separuh kedua tahun ini dengan unjuran harga sekitar AS$60-70 setong. Justeru, Ahmad yakin unjuran semula harga minyak oleh kerajaan baru-baru ini adalah tepat, malah lebih rendah dari unjuran antarabangsa. Sementara itu, mengenai skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Ahmad menegaskan bahawa skim tersebut bukan sahaja bertujuan membantu rakyat yang berpendapatan rendah. Malah, katanya, turut membantu menjana kegiatan ekonomi setempat dalam usaha memastikan kelangsungan kitaran ekonomi domestik bermula daripada peringkat pengilang sehingga kepada peniaga. "RM1 yang dibelanjakan untuk membeli sebotol air mineral itu, sebenarnya turut membantu menjana ekonomi pengilang botol, pembuat label, syarikat pengeluar air dan penjual air itu sendiri. "Ramai yang tidak melihat kepada kepentingan ekonomi sebaliknya menuduh ia (BR1M) sebagai satu pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan," katanya.