PETALING JAYA: Tan Sri Joseph Kurup berkata, beliau bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja, termasuk Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, demi mempertahankan perpaduan kebangsaan di negara ini. "Saya akan melakukan apa yang perlu untuk mempertahankan perpaduan di Malaysia dan saya bersedia berdepan Ibrahim Ali atau sesiapa sahaja di mahkamah. Kebenaran dan keadilan akan terus dikekalkan," Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata dalam satu kenyataan, Rabu. Beliau menambah: "Sebagai menteri yang menyelia perpaduan negara, saya telah membuat pendirian untuk tidak bertolak ansur terhadap ketaksuban kaum dan agama yang menggoyahkan keharmonian masyarakat hari ini. "Adalah menjadi misi dan tanggungjawab saya untuk melihat kejadian ekstremisme seperti itu tidak akan berlaku." Perkasa memfailkan saman fitnah terhadap Kurup awal Rabu kerana didakwa membayangkan bahawa kumpulan hak Melayu itu sebagai sebuah pertubuhan pelampau. Ibrahim memfailkan tuntutan saman untuk pertubuhan itu melalui peguamnya Adnan Seman di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi sivil. Dalam pernyataan tuntutan, kumpulan hak Melayu itu mendakwa Kurup telah berulang kali membuat kenyataan fitnah dan palsu terhadap pertubuhan tersebut. Kurup berkata keamanan dan kestabilan adalah kekayaan negara yang tidak ternilai dan kerajaan akan sentiasa berusaha untuk mengekalkan ia yang dianggap 'khazanah negara' ini.