suria

Adik Penumpang MH370 Jijik Model Pesawat Tenggelam Dijadikan Jenaka

Model pesawat MAS, penerbangan MH370 dijadikan bahan jenaka dalam satu pertandingan di New Zealand.
PETALING JAYA: Adik kepada mangsa pesawat hilang penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 dari New Zealand berasa 'jijik' apabila melihat satu pertandingan dengan model pesawat hilang itu, yang diperbuat daripada kadbod dalam keadaan tenggelam.

Stuff.co.nz melaporkan bahawa Sara Weeks, adik kepada penumpang Paul Weeks, berpandangan adalah sesuatu yang cukup menyedihkan apabila seseorang itu tampil dan menggunakan idea model MH370 tenggelam untuk acara tahunan Piala Titanic Tata Beach untuk tujuan 'humor', tetapi menyifatkan juri yang menganugerahkan kemenangan itu menjadikan keadaan lebih teruk.

"Saya terkedu," katanya.

"Saya hanya terkejut, dia mungkin fikir tempoh 10 bulan adalah masa yang cukup lama untuk melupakannya dan menjadikannya sebagai sesuatu yang lucu. Saya langsung tak pernah rasa ia melucukan.

"Bagaimana jika ahli keluarganya sendiri berada di atas kapal terbang itu? Dia (peserta) tidak akan merasakannya sebagai sesuatu yang lucu," kata Sara kepada stuff.co.nz.

Penganjur Piala Titanic, Dave Myall, mengakui model yang menggambarkan MH370 tenggelam adalah jenaka yang tidak senonoh tetapi 'merit seni adalah matlamat utama'.

"Pada peringkat manakah tragedi ini akan dirujuk sebagai selamat? Salah satu cara untuk berdepan dengannya adalah memuatkan unsur jenaka," kata Myall, menyokong keputusan yang dibuat oleh panel tiga hakim.

"Saya minta maaf apabila mendengar tentang wanita itu (Weeks) dan nasib malangnya, tetapi ini adalah satu acara tempatan. Ia perlu diambil dalam konteks itu. Jika media di luar Nelson tidak terlibat, maka tidak akan ada aduan," katanya.

Pemenang pertandingan menerima baucar penerbangan, 'yang mana hadiah itu sendiri adalah satu ironi', kata Myall.

Pencipta model MH370 itu, Robert Chubb, pada majlis itu berkata dia percaya masa yang cukup telah berlalu sejak tragedi itu untuk orang ramai untuk melihatnya sebagai humor dan bukan melihatnya sebagai kesalahan.

"(Para penonton) hanya berpendapat ia adalah paparan yang baik.

"(Bencana MH370) merupakan isu antarabangsa, dan ini adalah satu acara tempatan yang kecil. Saya fikir orang ramai akan melihat ironi dan unsur lucu daripadanya," katanya.

Acara itu, yang kini masuk tahun ke-18 penganjurannya dihadiri ramai dengan kira-kira 600 orang di pantai dan 52 di atas bot.

Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac tahun lepas semasa terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Data satelit menunjukkan pesawat Boeing 777, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari Malaysia, terhempas di  Lautan Hindi. Ia masih belum dijumpai.
MH370, Sara Weeks, Paul Weeks

Artikel Sebelum

Artikel Lain