Beliau berkata cadangan itu pada pendapatnya akan menyelesaikan serta meletakkan titik noktah kepada krisis yang berlarutan dalam parti itu.
"Walaupun bukan dicadangkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), krisis ini tidak seharusnya melampaui batas sehingga merosakkan imej parti berusia 68 tahun itu," katanya pada sidang media di sini Rabu.
Kamalanathan, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan II, turut merayu kepada presiden Datuk Seri G. Palanivel supaya menghentikan segera semua keputusan unilateral oleh beliau demi parti dan masyarakat India.
"Saya berharap Palanivel akan memanggil mesyuarat untuk memperjelaskan kepada kita apa yang sebenarnya berlaku. Saya masih mempercayai presiden dan timbalannya untuk menyelesaikan masalah dalaman ini," katanya.
Ditanya mengenai cadangan mesyuarat agung tergempar bagi membuat usul undi tidak percaya terhadap Palanivel, Kamalanathan berkata ahli parti masih menghormati presiden dan percaya beliau boleh menangani krisis ini dengan cekap.
Beliau juga menyatakan rasa kesal beliau terhadap insiden naib presiden Datuk M. Saravanan dan Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy dilarang memasuki bangunan ibu pejabat MIC di sini, Rabu.
Krisis dalaman parti itu tercetus selepas RoS membatalkan pemilihan tiga Naib Presiden dan 23 anggota CWC parti tersebut dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka, pada November, 2013.
Dalam surat bertarikh 5 Disember lepas, RoS mengarahkan jawatan tersebut dipilih semula dalam tempoh 90 hari berikutan dakwaan wujud ketidakaturan serta berlaku pelanggaran perlembangaan parti dan Akta Pertubuhan.