KOTA KINABALU: Menteri-Menteri Luar ASEAN memulakan pemukiman mereka pada Rabu dengan memberi fokus antara lain terhadap langkah untuk memacu agenda ASEAN ke hadapan, terutamanya dalam konteks pembinaan Komuniti ASEAN. Pada pemukiman itu, Malaysia akan turut berkongsi dengan negara anggota lain tentang lapan keutamaannya bagi ASEAN selaku pengerusi perkumpulan itu tahun ini, di rantau yang dilihat sebagai mempunyai ekonomi yang bertenaga dan keadaan politik yang stabil. Pertikaian perairan di Laut China Selatan yang menyaksikan memuncaknya ketegangan tahun lepas dan dianggap sebagai isu yang rumit bagi rantau ini, juga dijangka dibincangkan dengan mendalam. Pemukiman ini diadakan pada masa yang sangat penting ketika perkumpulan serantau 10 anggota itu berusaha keras ke arah pewujudan Komuniti ASEAN menjelang akhir tahun ini, yang terdiri daripada tiga tonggak iaitu Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, Komuniti Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN. Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengetuai delegasi Malaysia pada sesi pemukiman itu, yang diadakan di Magellan Sutera Harbour Resort di sini. Semua Menteri Luar ASEAN menghadiri pemukiman berkenaan iaitu Pengiran Anak Puteri Hajah Masna (Brunei Darussalam), Hor Namhong, (Kemboja), Retno L.P.Marsudi (Indonesia), Dr Thongloun Sisoulith (Laos), U Wunna Maung Lwin (Myanmar), Albert F del Rosario (Filipina), K.Shanmugam (Singapura), Tanasak Patimapragorn (Thailand) dan Pham Binh Minh (Vietnam). Selain menteri luar negara anggota ASEAN, pemukiman itu turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN Le Luong Minh. Lapan keutamaan yang diketengahkan Malaysia adalah untuk mewujudkan secara rasmi Komuniti ASEAN, membentuk Wawasan Komuniti ASEAN dan Dokumen Pengiringnya, membawa ASEAN lebih dekat kepada rakyat, memperkukuhkan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) serta memperluaskan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN menerusi pelaburan dan perdagangan rentas sempadan. Selain itu, turut menjadi keutamaan Malaysia adalah memperkukuhkan Institusi ASEAN, menggalakkan keamanan dan keselamatan serantau menerusi kesederhanaan dan mempertingkatkan peranan ASEAN sebagai penggiat global. Menurut aturcara yang diedarkan kepada media, sidang akhbar dijadual diadakan tengah hari ini di akhir pemukiman itu. Menteri berkenaan juga dijadual mengunjungi Pulau Gaya sebelum menghadiri majlis jamuan tengah hari yang dihoskan Anifah di Gayana Eco Resort. Pemukiman itu didahului Mesyuarat Jawatankuasa Wakil Tetap (CPR) pada Isnin dan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) serta mesyuarat Kumpulan Kerja Majlis Penyelarasan ASEAN keempat (ACCWG) berkaitan Wawasan Komuniti ASEAN Pasca-2015 semalam. Keseluruhannya, kira-kira 200 perwakilan dari 10 negara Asia Tenggara yang keseluruhan penduduknya berjumlah lebih 600 juta orang dijangka menghadiri Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN dan beberapa mesyuarat persediaan lain dari 26 hingga 28 Jan. Pemukiman menteri luar itu adalah yang pertama dalam siri mesyuarat ASEAN dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini. Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada 1 Jan daripada Myanmar. Wawasan Malaysia sepanjang menjadi pengerusi dengan tema 'Rakyat Kita, Komuniti Kita, Visi Kita' ialah mewujudkan ASEAN berpaksikan rakyat membabitkan semua sektor masyarakat dalam aktiviti kumpulan serantau itu. Perkumpulan ASEAN dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.