suria

Dakwaan Pikap Tak Berasas, Tak Benar - MyEG

PETALING JAYA: Dakwaan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap), Datuk Raja Zulkepley Dahalan bahawa kaedah memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara dalam talian yang dikendalikan MyEG Service Bhd (MyEG) boleh menyebabkan pembantu rumah 'hilang' adalah tidak berasas dan tidak benar.

Malahan, MyEG menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis berkata, dakwaan Pikap bahawa majikan kini boleh memperbaharui permit kerja itu tanpa diketahui atau kerelaan pembantu rumah sekali gus boleh menyebabkan pembantu rumah ini 'hilang' dan tidak dapat dihubungi ahli keluarga juga tidak lojik.

"Selama ini, majikan dapat memperbaharui permit kerja di kaunter imigresen tanpa kehadiran pembantu rumah mereka," menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, kata MyEG, Perjanjian Lombok pada 2012 menetapkan antara lain bahawa pembantu rumah Indonesia dibenarkan memegang pasport bagi mengelak sebarang masalah termasuk eksploitasi di kalangan majikan.

"MyEG telah mengambil peranan untuk memperbaharui permit kerja pembantu rumah secara dalam talian, manakala agensi pembantu rumah masih bertanggungjawab menjalankan latihan dan memastikan kebajikan pembantu rumah terpelihara.

"Sehubungan itu, MyEG menolak dakwaan yang dibuat Datuk Raja Zulkepley bahawa pembantu rumah asing akan kurang berminat bekerja di Malaysia dan bilangan pekerja asing di sini akan berkurangan kerana sistem dalam talian yang dilaksanakan ini.

"Dakwaan Pikap ini tidak disokong oleh sebarang fakta dan tidak berasas," katanya.

Menurut MyEG lagi, pihaknya sedang mendapatkan nasihat perundangan berhubung kenyataan bersifat fitnah yang dikeluarkan Pikap.

Terdahulu, presiden Pikap itu mendakwa melalui sistem MyEG, majikan boleh memperbaharui permit tanpa pengetahuan atau kerelaan pembantu rumah.

Pikap difahamkan sebelum ini terdapat aduan mengenai pembantu rumah asing di negara ini yang tidak dapat dijejaki keluarga di negara asal kerana sudah lama tidak pulang ke kampung halaman.

Malah pertubuhan itu juga mendakwa, kaedah itu boleh membawa kepada kemungkinan wujud eksploitasi sama ada majikan ‘menjual’ pembantu rumah kepada pihak lain atau mengarahkan mereka melakukan tugas lain.


MyEG, Pikap, Raja Zulkepley Dahalan, PLKS

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan