ASSALAMUALAIKUM. Sesat boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana. Jangan ingat kita tidak boleh sesat di tanah air sendiri, terutama jika kita kurang mahir atau tidak pernah berkunjung ke tempat berkenaan. Justeru, sesat bukan sesuatu yang asing dalam kehidupan setiap insan tetapi ramai yang sering membuat pelbagai andaian dan tanggapan negatif apabila seseorang jemaah umrah atau haji sesat di Tanah Suci. Pelbagai cerita yang pernah kita dengar dan kadangkala sedikit sebanyak turut mempengaruhi mereka yang bakal menjadi tetamu Allah SWT untuk mengerjakan ibadat umrah dan haji. Jika anda sesat, bertenang dan elakkan perasaan panik atau kelam kabut kerana ini boleh memburukkan lagi keadaan. Di Tanah Suci, ketika dalam kesusahan atau tersesat, banyakkan istighfar, selain melakukan solat sunat taubat serta solat hajat. Itu yang sering dinasihatkan kepada jemaah agar mereka mendapat petunjuk daripada Maha Esa. Saya pernah beberapa kali bertemu jemaah lelaki warga Indonesia dan Malaysia yang sesat dan terduduk di pinggir jalan berhampiran Hotel Al-Haram di Madinah kerana terlupa hotel didiami. Pernah juga saya temui jemaah wanita yang tertinggal bas di Masjid Quba ketika berziarah. Persekitaran Masjid Quba' di Madinah Lazimnya, jemaah yang sesat gagal menghubungi mutawif, ketua rombongan atau petugas agensi pelancongan masing-masing. Mereka panik dan hampir menangis setelah mendapati semua rakan jemaah lain tiada setelah puas mencari. Apa yang perlu dilakukan jika anda bertemu jemaah sesat? Minta tag nama mereka dan hubungi nama yang tertera pada tag itu atau hantar jemaah berkenaan pulang ke hotel didiami kerana kadangkala jemaah turut dibekalkan dengan kad bisnes hotel terbabit. Kisah kali ini mengenai seorang wanita berusia 35 tahun yang menunaikan umrah bersama-sama kakaknya yang lima tahun lebih tua daripadanya. Si adik yang dikenali sebagai Azura begitu peramah manakala kakaknya, Halimah agak pendiam. Kunjungan kali pertama ke Tanah Suci sudah tentu menjadikan mereka teruja untuk beribadat dan berziarah. Sejak mula mendaftar pakej umrah Azura banyak bertanya, manakala Halimah mengikut sahaja dan melayan perlakuan adiknya. Azura dan Halimah duduk sebilik dengan dua lagi jemaah wanita. Mereka dua beradik sering dilihat ke sana ke mari bersama-sama. Di Madinah segala-galanya berjalan lancar sama ada untuk beribadat mahupun berziarah. Unta berhias antara yang akan ditemui di Jabal Rahmah. Tiba hari ke Makkah, semua jemaah berkumpul di lobi, menaiki bas bersama-sama dan bergerak dalam kumpulan untuk menyempurnakan rukun umrah. Esoknya, jemaah berehat selepas keletihan menempuh perjalanan dari Madinah ke Makkah dan menyempurnakan umrah, saie dan tahalul. Tiba hari menziarah sekitar tempat bersejarah di kota Makkah, semua tampak girang dan kembali bertenaga. Bagi mereka yang tiada keuzuran dan mahu mengerjakan umrah sunat begitu digalakkan kerana jemaah akan turut berkunjung ke tempat miqat di Jaaranah. Berangkatlah jemaah ke tempat bersejarah bermula dengan Jabal Nur, Jabal Tsur, Padang Arafah, Jabal Rahmah, Muzdalifah, Mina dan Jaaranah. Begitulah destinasi lazim yang dikunjungi sebahagian besar jemaah umrah. Saya ditugaskan untuk memantau jemaah di dalam bas B, manakala Ustaz Nasir bertanggungjawab ke atas jemaah di bas A. Azura dan Halimah di dalam bas A. Bas bergerak serentak. Bas A di hadapan bas B. Di Jabal Nur dan Jabal Tsur, tiada masalah dihadapi kami tetapi setelah saya dan semua jemaah di dalam bas B tiba di Jaaranah, saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada Ustaz Nasir. Jemaah merakamkan kenangan di Jabal Rahmah . “Puan Hajah, Azura hilang. Puas dah kami cari tapi tak jumpa,” tutur Ustaz Nasir penuh cemas. “Hah. Hilang. Biar betul ustaz. Masa bila dia hilang. Tadi ada bersama-sama kita di Jabal Rahmah,” balas saya mula risau. “Di Jabal Rahmah kali terakhir kita nampak dia. Kami tunggu dalam bas, tapi dia tak muncul. Kakak dia pun cakap adiknya entah hilang ke mana,” balas Ustaz Nasir terus. “Dia naik ke Jabal Rahmah dengan siapa? Kakak dia tak ikut ke?” soal saya bertalu. “Dia naik ke Jabal Rahmah dengan jemaah lain tetapi mereka cakap tiba-tiba dah tiada,” balas Ustaz Nasir. “Cuba cari lagi ustaz. Mana tahu jumpa nanti,” pinta saya. “Ya, ya. Kami cari Azura. Puan Hajah jangan risau sangat. Insya Allah ada nanti,” ujar Ustaz Nasir. Saya dan jemaah di dalam bas B pulang ke semula ke Hotel Saraya Ajyad setelah melafazkan niat ihram di Jaaranah, yang terletak kira-kira 17 kilometer dari Masjidil Haram. Saya bingung dan bimbang seketika kerana tidak menerima sebarang maklum balas daripada Ustaz Nasir. Saya menunggu mereka di ruang lobi. Hampir waktu Zuhur, jemaah dari bas B tiba di hotel. Saya tidak nampak kelibat Azura, manakala Halimah pula kelihatan amat kusut. Jemaah sebilik dengan Halimah menenangkannya. Sejurus melihat Ustaz Nasir saya terus mendekatinya. “Macam mana ustaz? Tak jumpa ye?” Apa kita nak buat sekarang ni?” soal saya makin buntu. “Dah puas kami berlima cari dia. Lebih satu jam tetapi apakan daya, memang Allah tak izinkan kami bertemu dengan dia. Berdoalah. Mudah-mudahan dia balik ke hotel nanti,” ujar Ustaz Nasir yang bermandi peluh, manakala wajahnya umpama dipangggang. Begitu juga empat lagi jemaah yang turut membantu beliau mencari Azura di Jabal Rahmah. Suasana sekitar Mina ketika musim haji. Disebabkan kesuntukan masa mencari Azura di Jabal Rahmah, jemaah di bas A tidak berpeluang ke Muzdalifah, Mina dan Jaaranah. Mereka tidak dapat mengerjakan umrah sunat kerana tidak singgah di tempat miqat Jaaranah kerana hampir waktu Zuhur. Selesai solat Zuhur dan makan tengah hari, saya dimaklumkan bahawa Azura ada di dalam bilik hotel oleh jemaah yang satu bilik dengannya. Alhamdulillah. Perkataan yang terkeluar daripada mulut saya sejurus mendengar pengesahan itu. Syukur tidak terkata. Namun, saya ingin mengetahui ke mana Azura pergi dan bagaimana dia kembali. Saya mahu mendengar daripada mulutnya sendiri. Pada petangnya, sempat saya berbual dengan Azura untuk seketika. Dia kelihatan letih dan kurang bermaya. Wajahnya kemerah-merahan dan kelihatan serba salah. “Awak pergi mana Azura? Puas Ustaz Nasir dan empat lagi jemaah cari awak tadi,” soal saya memulakan bicara. “Saya sesat tadi hajah. Saya naik ke Jabal Rahmah bersama-sama jemaah kita tetapi waktu turun saya ikut laluan lain. Bukan laluan yang saya naik. Saya jumpa jemaah wanita Indonesia dan dia ajak saya turun bersama-samanya. Saya sedar laluan itu lain tetapi saya ikut juga. Bila turun sahaja saya dah tak nampak bas A. Puas saya cari tapi tak jumpa. “Dah penat cari, saya ternampak jemaah umrah dari Malaysia dan bertanya mereka tinggal di hotel mana. Apabila mereka cakap di sekitar Ajyad, saya terus tumpang bas mereka. Maafkan saya hajah sebab tidak hubungi sesiapa,” cerita Azura menahan sebak. “Sudahlah. Alhamdulillah awak selamat. Kami semua bimbang sebab awak kali pertama datang. Sebaik-baiknya sentiasa dalam kumpulan. Mujur awak terfikir untuk tumpang bas jemaah umrah dari Malaysia,” balas saya. “Terima kasih hajah. Ustaz Nasir suruh saya mohon maaf pada jemaah di dalam bas A sebab mereka tak berpeluang sambung ziarah dan bermiqat,” maklum Azura. “Baguslah. Elok juga tu. Bimbang mereka kecil hati atau marah. Minta maaf juga dengan kakak awak dan jemaah sebilik. Mereka bimbang sangat tadi,” pinta saya. “Baiklah hajah. Terima kasih,” balas Azura ringkas dan berlalu meninggalkan saya. Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya, malah kita hanya merancang dan Allah SWT yang menentukan segalanya. Dilanjutkan cerita, saya dimaklumkan oleh jemaah sebilik dengan Azura bahawa beliau sering berleter pada Halimah sejak dari Madinah. Mereka menganggap Azura bersikap kasar terhadap Halimah yang selalu mengalah dan mengikut telunjuknya. Alhamdulillah, selepas insiden itu, Azura kelihatan mesra dengan kakaknya. Setiap yang berlaku ada hikmah. Hanya Allah yang lebih Mengetahui. Tindakan Azura untuk menumpang bas jemaah umrah dari Malaysia adalah langkah bijak dan tepat. Tentunya suatu pengajaran buat semua bakal tetamu Allah SWT.