GEORGE TOWN: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan mati dilapor akibat tersedak susu di rumah pengasuhnya di Pangsapuri Harmoni, Jalan Masjid Negeri di sini Khamis. Muhd Azfar Zikry Anuar yang sebelum ini dijaga pengasuh lain dihantar kepada pengasuh berkenaan buat kali pertama oleh ibunya. Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata bayi itu dilapor dalam keadaan tenat di atas riba pengasuhnya itu pada pukul 1.30 tengah hari. "Bayi itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang dan polis telah merekod keterangan pengasuh terbabit yang berusia 30-an," katanya dalam kenyataan pada Jumaat. Beliau berkata hasil bedah siasat mendapati bayi itu mati akibat tersedak susu dan tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan.