suria

MyEG: Enam Kes Khas Perlu Dibuat Di Kaunter Imigresen

Kaunter di bahagian pekerja asing di pejabat imigresen. Foto MOHD SAHAR MISNI / THE STAR

PETALING JAYA: Majikan pekerja asing yang berdepan enam kes khas dibenarkan untuk memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di kaunter pejabat imigresen.

Kebenaran itu diberikan kerana majikan yang mempunyai kes tersebut tidak dapat membuat permohonan melalui sistem dalam talian MyEG Service Bhd (MyEG) yang dikuatkuasakan sejak 5 Januari lalu.

Pengarah Bahagian Pekerja Asing Imigresen, Farah Adura Hamidi berkata, kes-kes khas tersebut dikesan dalam tempoh Peringkat Pembuktian Konsep (POC) pelaksanaan baharu untuk menambah baik kecekapan sistem dalam talian itu.

"Terdapat enam kes yang kita kenal pasti iaitu masalah pekerja asing tinggal lebih masa, disenaraihitamkan dan pasport mereka yang perlu diperbaharui kerana tamat tempoh.

“Ia turut meliputi masalah permohonan dalam talian yang membabitkan maklumat berkaitan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema), selain data pekerja asing yang tidak lengkap dan tidak sepadan dengan sistem dalam rekod imigresen," katanya dalam satu temuramah bersama mStar Online.

Masalah membabitkan Fomema di mana pekerja tidak perlu lagi menjalani saringan kesihatan berkenaan selepas tiga tahun. 

Jabatan Imigresen memutuskan untuk membuka semula kaunter berkenaan untuk sementara waktu sehingga tamat tempoh POC pada 28 Februari depan selepas mempertimbang rungutan majikan mengenai pelaksanaan sistem baharu itu yang mengenakan caj RM38 bagi setiap permohonan selain pengumuman yang dibuat 'secara mengejut', sekali gus membebankan pengguna.

Pada masa sama proses permohonan melalui sistem dalam talian MyEG tetap dibuka kepada majikan.

Farah Adura
Farah Adura Hamidi. Foto MOHD SAHAR MISNI / THE STAR

Farah Adura berkata, sesi POC sehingga 28 Februari depan merupakan tempoh untuk menguji kecekapan sistem berkenaan dan penyedia perkhidmatannya.

Tambahnya, tiada jangkaan dapat dikesan terhadap sistem dalam talian itu sekiranya tidak dilaksanakannya sepenuhnya.

Berikutan itu katanya, tempoh POC dilakukan bagi mengenal pasti apakah masalah atau kelemahan yang berbangkit daripada sistem yang dikuat kuasakan sejak 5 Januari lalu.

"Kita perlu melangkah ke hadapan dengan melaksanakan kaedah ini dengan cara yang berkesan termasuk menggunakan sistem dalam talian, antara lain untuk memudahkan urusan majikan.

"Saya masih berharap mendapat maklum balas daripada majikan bagi membantu memperbaiki sistem tersebut supaya ia dapat digunakan dengan lebih baik pada masa akan datang,” kata Farah Adura.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MyEG, Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha memberitahu mStar Online,  bahawa diakui terdapat permohonan perlu mendapat kelulusan secara manual di kaunter pejabat imigresen.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut dapat ditambah baik selepas menyelesaikan isu-isu berkaitan yang berbangkit seperti caj RM38 yang dikenakan terhadap majikan.

“Kita perlu memikirkan bagaimana hendak memberi penambahbaikan. MyEG dan Jabatan Imigresen boleh berbincang untuk langkah ke hadapan demi menyediakan perkhidmatan yang mudah dan cepat kepada orang ramai,” katanya.

Raja Munir Shah Raja Mustapha. 

Ketika ditanya adakah penambahbaikan pada masa akan datang mampu menangani enam kes khas tersebut, Raja Munir berkata:  “InsyaAllah.. Kita kena melihat perjalanan proses dan mekanismenya.

“Mana yang kita boleh mengautomatikkan secara ‘online’, insyaAllah kita akan buat. Kalau mana yang tak boleh, sebab kita perlu faham ada perkara yang membabitkan pindaan akta, peruntukan undang-undang dan sebagainya.

“Kalau semua perkara ini boleh diatasi, saya tak nampak kenapa ia tidak boleh dilakukan secara ‘online’. Kita akan melihatnya secara mendalam,” katanya sambil menambah sebarang keperluan boleh dipenuhi MyEG sebagai penyedia perkhidmatan meliputi peralatan, kepakaran dan aplikasi yang dibangunkan.

Dalam pada itu, Raja Munir berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan mengenai langkah terbaik untuk memaklumkan kepada pemohon berhubung kes-kes khas yang tidak dapat diproses secara dalam talian.

“Daripada perbincangan itu kita akan lihat macam mana kita boleh maklumkan sebagai makluman seperti pengumuman. Perkara-perkara penting seperti ini boleh dihebahkan di hadapan laman web kita (www.myeg.com.my).

"Tiada masalah untuk kita paparkan di portal MyEG, cuma kita hendak mereka faham apa yang dimaklumkan. Walaupun kita sudah letakkan pemberitahuan di portal, mereka juga boleh menghubungi kita,” katanya yang merujuk kepada pusat khidmat pelanggan MyEG di talian 03-78011688.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan