suria

Laman Web Khas Insiden MH370 Untuk Waris Dapatkan Maklumat

Jailani menunjukkan laman web MH370 dalam versi bahasa Cina.

HULU TERENGGANU: Laman sesawang khas, www.mh370.gov.my, yang diwujudkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung misi pencarian pesawat MH370 memudahkan orang ramai terutamanya waris mangsa mendapatkan maklumat mengenai misi tersebut. 

Menyatakan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Komunikasi dan Media Insiden MH370, Datuk Jailani Johari berkata, "Laman sesawang ini diwujudkan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris serta Bahasa Mandarin. 

"Untuk 'Next-of-Kin' (NOK) (waris) satu kata laluan khas untuk mereka mengakses. 

"Setiap NOK diberikan kata laluan yang berasingan dan mereka boleh mengakses berkaitan proses serta perkembangan pencarian, pampasan dan sebagainya. 

"Untuk rakyat di negara China, kita wujudkan laman sesawang khas ini dalam Bahasa Mandarin yang mana ia merupakan permintaan kerajaan China. 

"Untuk NOK Malaysia dan negara lain, mereka boleh mengakses dalam Bahasa Inggeris," katanya. 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Program Bicara Bersama Mahasiswa Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini pada Sabtu.  

Jailani yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata laman sesawang ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.  

"Dengan adanya laman sesawang ini juga, tidak timbul isu bahawa ada maklumat yang disembunyikan atau sebaliknya sebab kerajaan Malaysia sentiasa berhubung dengan kerajaan China serta Australia dalam hal ini dan kita akan teruskan misi pencarian MH370," katanya. 

Jailani berkata pihaknya juga berharap dakwaan yang menjadi viral di laman sosial kononnya kenyataan kerajaan berhubung hasil pencarian MH370 satu pembohongan, dihentikan segera. -BERNAMA

MH370, laman web

Artikel Sebelum

Artikel Lain