JOHOR BARU: Seorang anggota tentera dikhuatiri lemas manakala rakannya terselamat dalam kejadian bot terbalik berhampiran Kampung Orang Asli, Tanah Abang, Mersing pagi Ahad. Jurucakap Bomba dan Penyelamat Johor berkata kedua-dua mangsa, yang berusia 41 tahun, merupakan anggota tentera dari Kem Mahkota, Kluang. Ketika operasi menyelamat bermula pada 11.36 pagi Ahad, katanya mangsa yang terselamat didapati berpegang pada tong di bot. "Mangsa yang hilang dipercayai lemas ketika cuba berenang ke tebing sungai. Kedalaman sungai ialah antara 7.6 meter dan 9 meter manakala jarak mangsa hilang dari tebing adalah kira-kira 9 meter," kata jurucakap itu ketika dihubungi pada Ahad. Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat dihentikan buat masa ini dan akan disambung pada Isnin berikutan keadaan cuaca tidak mengizinkan.