suria

Pengisytiharan MH370: MAS Nafi Dakwaan Waris Tidak Dimaklumkan Lebih Awal

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan Malaysia (MAS) menafikan dakwaan bahawa waris keluarga penumpang pesawat MH370 tidak dimaklumkan terlebih dahulu sebelum kerajaan membuat pengumuman khas mengenai kehilangan pesawat tersebut.

Sebaliknya, MAS dalam satu kenyataan berkata, semua waris keluarga dimaklumkan menerusi panggilan telefon dan dalam kes tertentu, melalui khidmat pesanan ringkas, apabila panggilan tidak dijawab sebelum pengumuman tersebut dibuat.

"Ini dilakukan sendiri oleh Pusat Sokongan Keluarga waris, penjaga atau wakil dari pejabat serantau syarikat penerbangan itu," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Menurut MAS, waris keluarga penumpang di China dimaklumkan menerusi khidmat pesanan ringkas oleh Pusat Komunikasi dan Sokongan Keluarga syarikat penerbangan itu Beijing.

Malah, MAS turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa mereka akan terus mengadakan sesi perjumpaan dengan ahli keluarga bersama kerajaan dan agensi berkaitan untuk membincangkan mengenai pengisytiharan tersebut.

Dalam satu sidang media pada Khamis, DCA secara rasmi mengisytiharkan kehilangan pesawat MH370 sebagai satu kemalangan.

Pengisytiharan itu akan membolehkan waris keluarga mendapatkan bantuan dan pampasan untuk penumpang di dalam pesawat 

Bagaimanapun waris keluarga mangsa mengkritik tindakan MAS dan DCA kerana mendakwa mereka sepatutnya dimaklumkan lebih awal mengenai perkembangan terkini sebelum ia diumumkan kepada media.

Terdahulu, sidang media yang dijadualkan pada pukul 3.30 petang ditangguhkan selepas pihak penganjur dikejutkan dengan kehadiran beberapa ahli keluarga mangsa.

Ia digantikan dengan pengumuman khas oleh Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang disiarkan RTM1 pada pukul 6 petang Khamis lalu.

Dalam pengumuman itu, beliau mengisytiharkan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat MH370 sebagai terkorban.

Azharuddin berkata pengisytiharan tersebut dibuat setelah pesawat itu dianggap terlibat nahas, menepati takrifan Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa yang juga dikenali Konvensyen Chicago. 



MH370, waris mangsa, DCA

Artikel Lain