KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor meluangkan masa sejam menyaksikan perayaan Thaipusam ke 125 tahun di Kuil Sri Subramaniyar Swamy di Batu Caves di sini, yang menyaksikan kehadiran 1.6 juta penganut Hindu dan pelancong asing. Tiba di perkarangan kuil, Perdana Menteri dan isterinya meluangkan masa beberapa minit di tingkat dua balkoni pejabat pengurusan kuil itu bersama ketua-ketua kuil dan pemimpin MIC termasuk Presidennya Datuk Seri G. Palanivel, Naib Presidennya Datuk M. Saravanan dan bekas presidennya Tan Sri S. Samy Vellu. Najib dan Rosmah dikalungkan bunga Malai dan kain selendang berwarna emas diletakkan di bahu mereka oleh pengerusi jawatankuasa kuil berkenaan Tan Sri R. Nadarajah sebagai tradisi menyambut tetamu khas pada perayaan itu. Menghormati majlis itu, Najib hari ini berpakaian tradisional India, Kurta berwarna krim dan Rosmah berpakaian merah jambu bercorak. Kesemua mereka kemudiannya melambai-lambai seketika sebagai mengalu-alukan kehadiran lautan pengunjung yang penuh sesak pada perayaan itu. Najib dan Rosmah hadir pada jamuan di majlis itu dengan dihadiri para pemimpin berkenaan sebelum bertolak pulang pada 11.30 pagi. Bercakap kepada pemberita, Setiausaha Kehormat Kuil Sri Subramniyar Swamy R.T. Sundaram berkata kehadiran Perdana Menteri bukti keprihatinan pemimpin negara terhadap pelbagai kaum termasuk kaum minoriti India. "Kehadiran Perdana Menteri kali ini amat istimewa kerana kami menyambut Thaipusam ke 125 tahun, iaitu lebih dari seabad. Ia juga memupuk perpaduan dan solidariti antara kaum di negara ini," katanya yang menganggarkan seramai 1.6 juta penganut Hindu dan pelancong hadir pada sambutan itu. Sambutan perayaan Thaipusam berjalan dengan lancar biarpun malam tadi persediaan sambutannya diganggu masalah bekalan elektrik yang menyebabkan beberapa sektor kawasan kuil di dalam gua Batu Caves bergelap. Kelihatan lautan penganut Hindu yang antara mereka membawa kavadi, berkaki ayam dan bercukur rambut pada perayaan yang merupakan acara rasmi dalam kalendar pelancongan negara. Mereka mengunjungi kuil Sri Subramaniyar Swamy bagi menyatakan kesyukuran, melaksanakan nazar atau menebus dosa masing-masing sempena perayaan Thaipusam. Orang ramai dan pelancong asing turut bersesak bersama penganut Hindu bagi menyaksikan dan berkongsi keseronokan serta keunikan perayaan itu. Thaipusam adalah perayaan yang disambut oleh penganut Hindu di seluruh dunia, semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil 'Thai' bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan iaitu anak lelaki bongsu Dewa Shiva dan Dewi Parvati. Ia juga bagi memperingati peristiwa iaitu Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman serta mengembalikan kemakmuran manusia.