SEPANG: Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada Selasa menafikan dakwaan bahawa pelajarnya di cawangan Permatang Pauh, Pulau Pinang diculik dari kawasan kampus sebelum dikelar di leher oleh teman lelakinya. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata, mangsa Nursyuhada Johari telah bertemu dengan suspek di luar kawasan kampus sebelum mangsa dengan suka rela masuk ke kenderaan suspek dan bergerak ke lokasi lain. “Mangsa tidak diculik di dalam kawasan kampus seperti yang dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Menteri Mentor UiTM bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Semalaysia 2014/2015 di sini, Selasa. Sementara itu, Abdullah berkata pihak UiTM telah menghubungi keluarga mangsa bagi membantu urusan jenazah. Pada Isnin, Nursyuhada yang dikelar suspek di tepi Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang, dekat Taiping telah terjatuh atas lebuhraya. Mangsa yang dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan telah bertarung nyawa selama dua jam dan meninggal dunia kira-kira pukul 2 petang.