BUKIT MERTAJAM: Pemilik rangkaian restoran nasi kandar Nasmir, Nasmir Holdings Sdn Bhd bersedia menurunkan harga minuman dan makanan direstorannya jika pembekal serta pemborong bahan mentah menurunkan harga bekalan makanan. Pengarah Urusannya Datuk Kadhar Shah Abdul Razak berkata harga bahan api telah dua kali turun tetapi barangan mentah yang dibekalkan masih pada harga sama. "Pelanggan restoran bertanya sama ada harga minuman dan makanan diturunkan selepas harga bahan api turun, jawapan saya harga masih sama kerana kami tiada pilihan kerana pembekal tidak menurunkan harga bahan mentah. "Saya juga ada mengadakan pertemuan dengan 15 hingga 20 pemborong dan pembekal bagi membincangkan harga bahan mentah tetapi mereka tetap enggan menurunkan harga serta tiada jalan penyelesaian," katanya pada sidang akhbar pada Rabu. Kadhar Shah berkata beliau kecewa dengan tindakan pembekal dan pemborong kerana pada ketika harga bahan api naik dua kali dari Jun hingga Disember tahun lepas, mereka turut menaikkan harga bahan mentah sehingga 20 peratus. Kadhar Shah berharap pemborong dan pembekal dapat mencari jalan penyelesaian untuk menurunkan harga barangan mentah demi kepentingan semua pihak terutama pengguna. "Alasan mereka harga minyak naik tetapi apabila harga turun mereka enggan menurunkan harga bahan mentah. Ini bukan sahaja menyusahkan kami yang terlibat dengan industri makanan malah pengguna turut terbeban," katanya. Sehubungan itu beliau meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengadakan operasi bagi memastikan pihak pembekal dan pemborong menurunkan harga bahan mentah mereka. "KPDNKK perlu turun padang dan buat sesuatu kepada pembekal dan pemborong supaya mereka juga menurunkan harga bahan mentah...ambil tindakan tegas jika mereka masih berdegil," katanya.