KUALA PERLIS: Penahanan 66 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di pantai Sungai Padang, di sini, tengah malam Rabu berjaya membongkar taktik sindiket penyeludupan PATI yang menukar kawasan operasi mereka ke perairan Perlis. Ketua Penguatkuasa APMM Wilayah Utara Laksamana Pertama (Maritim) Tan Kok Kwee berkata perubahan kawasan operasi itu mungkin disebabkan tindakan agensi penguatkuasa memperketatkan kawalan di Selat Cincin, Langkawi. Katanya dalam kejadian pada 12.15 tengah malam itu, sebuah bot fiber dinaiki 66 PATI termasuk sembilan wanita dan seorang kanak-kanak lelaki warganegara Bangladesh dan etnik Rohingya ditahan sekitar 2.1 kilometer dari pantai Sungai Padang. Kesemua PATI tersebut serta tiga tekong lelaki dipercayai rakyat negara jiran berumur antara dua hingga 35 tahun ditahan pasukan APMM, kata Tan pada sidang media di sini, Khamis. Menurutnya semasa ditahan semua PATI duduk berhimpit-himpit di dalam bot tersebut yang menggunakan tiga enjin 200 kuasa kuda setiap satu. Bot itu cuba memecut lari menyebabkan bot APMM terpaksa merempuh untuk menghentikannya dan kemudian mengiringinya ke Jeti Pangkalan Maritim Kuala Perlis untuk siasatan lanjut, katanya. Menurut Tan, selain perairan Perlis, sindiket penyeludupan PATI dipercayai menukar modus operandi dengan menggunakan bot fiber berkuasa tinggi berbanding bot kayu sebelum ini. Katanya, hasil siasatan mendapati semua PATI berkenaan membayar antara RM1,500 dan RM2,000 seorang kepada tekong untuk membawa mereka memasuki negara ini. Katanya, sindiket berkenaan juga dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan rakan mereka di negara ini yang memberi isyarat untuk mendaratkan PATI di tempat tertentu.