KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan amaran tegas kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat rasis dalam isu kenaikan harga barang yang melibatkan peniaga Cina. "Sepatutnya perdana menteri memberi amaran tegas kepada Ismail Sabri tetapi memilih untuk membela menteri kabinet tersebut. Beliau (Ismail) sepatutnya dikenakan tindakan tegas termasuk didesak untuk meletakkan jawatan. "Kerajaan yang sewajarnya menurunkan harga barang kawalan kerana mereka mempunyai kuasa berbuat demikian. Namun sehingga hari ini kerajaan tidak menyatakan hasrat untuk menurunkan harga barang kawalan berkenaan," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, Khamis. Mengulas lanjut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mengecam tindakan 92 Ketua Umno Bahagian yang bersolidariti menyokong kenyataan Ismail. "Saya ingin tegaskan pentingnya pemimpin Umno bahagian itu menyatakan sokongan dengan berlandaskan fakta. "Usahlah menyokong membuta tuli 'bagaikan orang yang mabuk meminum todi'," katanya. Kontroversi berhubung kenaikan harga barang tercetus selepas Ismail menulis kenyataan di Facebooknya, menggesa pengguna Melayu memboikot peniaga yang enggan menurunkan harga barang dan mengaut keuntungan berlipat kali ganda ketika kerajaan sudah pun menurunkan harga runcit minyak. Ismail didakwa menyebut tentang restoran kopitiam OldTown White Coffee, dimiliki OldTown Bhd, mengatakan ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham memiliki saham di dalamnya. Bagaimanapun, Ismail berdiri teguh dengan kenyataannya dan enggan meminta maaf apabila diberi amaran oleh Ngeh Dalam perkembangan lain, Mahfuz berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan wakil daripada pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia bagi mengetahui status terkini tertuduh yang terlibat kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibu, Koperal Sirul Azhar yang kini ditahan oleh pihak imigresen Australia. "Saya akan adakan pertemuan dengan wakil pejabat Pesuruhjaya pada 9 Februari ini," katanya. Pada 13 Januari lalu, Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri diperintahkan menjalani hukuman yang dijatuhkan kepada mereka pada 2009, atas kesalahan membunuh model berusia 28 tahun itu pada 2006. Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ketika keputusan dibacakan dan laporan berita mendedahkan dia berada di Australia pada penghujung Oktober tahun lalu. Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria memerintahkan kedua-duanya digantung sampai mati, mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013, berhubung tuduhan membunuh Altantuya, yang juga kekasih kepada penganalisis politik Abdul Razak Baginda.