suria

Skuad 'Smart Pengguna' Wanita Umno Kenal Pasti Premis Harga Patut

Shahrizat Abdul Jalil

KUALA LUMPUR: Wanita Umno melalui Skuad 'Smart Pengguna' akan bergerak ke seluruh negara bagi mengenal pasti premis perniagaan yang menawarkan harga berpatutan untuk memudahkan pembeli khususnya wanita berbelanja.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, skuad itu akan digerakkan minggu depan dan nama premis berkenaan akan dipamerkan di laman web rasmi pergerakan itu.

"Inisiatif ini akan dapat membantu wanita yang merupakan kuasa pembeli terbesar negara dalam membuat keputusan membeli barangan dari peniaga yang menawarkan harga berpatutan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, Khamis.

Katanya, inisiatif ini sedikit sebanyak dapat memberi tekanan kepada peniaga untuk menurunkan harga barangan.

Sementara itu, Shahrizat menggesa semua persatuan pengguna kembali 'bertaring' dan bergerak lebih ke hadapan mendesak peniaga menurunkan harga barang.

Katanya, suatu ketika dahulu persatuan pengguna mempunyai pengaruh yang tinggi dalam membantu kerajaan menentukan kestabilan harga barang.

Artikel Berikut

Artikel Lain