SESUNGGUHNYA kita adalah milik Allah dan kepadaNya jua kita akan kembali. Innalillah wa inna ilayhi rajiun. Demikian dilafazkan umat Islam di seluruh dunia - seperti lazimnya bila maklumat mengenai sesuatu kematian disampaikan - tatkala mendengar berita Raja Abdullah Abdulaziz telah mangkat awal pagi 22 Januari lalu. Almarhum Raja Arab Saudi meninggal dunia pada kira-kira jam 1 pagi akibat radang-radang paru. Baginda berusia 90 tahun. Walaupun memiliki harta dan kemewahan yang berlimpahan di samping kedudukan kuasa yang sangat tinggi, Almarhum dikebumikan secara sederhana saja keesokan hari di sebuah kawasan perkuburan awam di pinggir kota Riyadh. Pemakaman Raja Abdullah memangnya menjadi sorotan dunia dan Malaysia tidak terkecuali. Walaupun sudah memasuki dua minggu sejak kemangkatannya; namun penulis memerhati di beberapa laman media sosial dan portal berita, dua perkara berkaitan dengan pemergian baginda masih rancak dibincangkan. Pertama adalah mengenai upacara pemakaman Almarhum dan kedua – yang lebih “hot” dan topik yang penulis rasa penting untuk berkongsi dengan pembaca – ialah mengenai sikap isteri Presiden Barack Obama semasa pasangan utama dari Amerika Syarikat itu membuat kunjungan takziah ke atas keluarga DiRaja Saudi. Michelle Obama dikecam oleh media sosial dan beberapa media arus perdana kerana membiarkan rambutnya terurai dalam pertemuan dengan keluarga DiRaja itu. Barack Obama yang berada di India, telah berlepas ke Arab Saudi empat hari kemudian untuk menyampaikan salam takziah kepada keluarga DiRaja Saudi ke atas kemangkatan Raja Abdullah. Tindakan memendekkan lawatannya ke India itu kemudian telah mendapat keceman dari media Amerika. Ini kerana beliau tidak menghadiri perarakan di Paris pada 11 Januari bersama beberapa pemimpin negara luar yang lain untuk memprotes kematian para petugas di majalah humor Charlie Hebdo sebab mencerca Nabi Muhammad s.a.w. oleh dua orang anggota militan. Upacara pemakaman Raja Abdullah dilaksanakan selepas solat Jumaat dengan jenazah Almarhum ditutup dengan kain kafan putih; kemudian dibawa ke sebuah kubur tidak bertanda di Al-Aoud selepas jenazahnya disembahyangkan di Masjid Imam Turki bin Abdullah. Sesuai dengan cara Islam, orang yang meninggal akan segera mungkin dimandikan, dikafan lalu disolatkan sebelum dikuburkan. Begitu juga dengan Raja Abdullah. Kaum kerabat baginda tidak membuang masa dan segera memandi dan mengkafankannya; lalu jenazahnya disolatkan dan dibawa untuk peristirihatan yang terakhir. Adik Raja Abdullah, Putra Mahkota Salman Abdulaziz, yang menggantikan beliau sebagai Raja Arab Saudi, turut mengusung jenazah Almarhum bersama ahli keluarga yang lain ke tapak pemakaman. Kalangan orang Islam yang menulis di dalam blog dan media sosial mengenai pengkebumian Almarhum Raja Abdullah, meluahkan rasa terharu dan insaf kerana pemakaman bagi seorang pemimpin negara yang juga insan yang di antara paling kaya di dunia dilaksanakan secara sederhana sekali. Dilaporkan oleh beberapa portal dan akhbar bahawa pemakaman Raja Abdullah juga menyentuh perasaan seramai kira-kira 500 orang dari negara China hingga mereka memutuskan untuk menjadi mualaf. Sebuah harian Arab Saudi merakamkan video yang menunjukkan warga-warga China itu mengucapkan dua kalimat syahadat dan memancarkan peristiwa itu melalui YouTube. Sementara itu, ramai pemimpin dunia bergegas ke Riyadh untuk upacara pemakaman Raja Abdullah di samping melakukan kunjungan kormat ke atas pemerintah baru, Raja Salman, 79. Namun, ketibaan presiden AS dan isterinya di bumi Saudi terus mengundang kontroversi. Michelle isteri Obama dianggap tidak menghormati adat resam masyarakat Islam dan Arab, dengan tidak mengenakan penutup kepala ketika mengunjungi Raja Salman. Sekitar 1,500 cuitan di Twitter dengan tag #Michele Obama Unveiled telah 'menyerbu' Wanita Pertama AS itu. Pelbagai spekulasi diutarakan melalui media sosial mengapa Michelle memilih untuk mengenakan saja pakaian secara kasual; iaitu pakaian biasa yang ditutup baju labuh berlengan penuh, seluar panjang dan rambut yang dibiarkan terurai. Pada hal, Michelle dikenali sebagai seorang wanita yang peka mengenai fesyen masakini dan mudah menyesuaikan pakaian mengikut majlis atau lawatan rasmi - sama ada bersama suaminya atau secara sendirian. Bahkan, bila dia mengiringi Barack ketika membuat kunjungan ke atas Pope Francis di Vatican City, Michelle menghormati pemimpin agong Kristian itu dengan memakai niqab (pelindung muka). Malah, semasa beliau mengunjungi Malaysia dan Indonesia, Michelle juga kelihatan menggunakan kerudung. Media barat seperti CNN, Washington Post dan New York Times, menyebelahi Michelle kerana, menurut mereka, beberapa wanita ternama telah menemui kaum kerabat DiRaja Arab Saudi tanpa perlu menutup rambut. Di antara yang dinamakan mereka ialah mantan Wanita Pertama Laura Bush; bekas Setiausaha Negara Hilary Clinton dan seorang lagi bekas Setiausaha Negara, Condoleeza Rice. Apa yang media Barat tidak sebut ialah, Michelle telah pergi ke Riyadh atas dasar kunjungan takziah dan ketika rakyat negara itu dalam kesedihan kerana kehilangan pemimpin mereka. Dilaporkan ini bukan pertama kali sikap Michelle ditegur; dan bukan saja di bumi pemerintahan kerajaan Islam. Ketika pasangan utama Amerika itu megunjungi Britain pada tahun 2009, Michelle terus memeluk Ratu Elizabeth II ketika bertemu dengan baginda - satu perbuatan yang melanggar protokol diraja. Ada beberapa insident lagi yang turut melibatkan Barack yang menunjukkan warga Amerika lebih pentingkan budaya liberalnya daripada budaya beradab masyarakat di negara lain. Misalnya, media Amerika mengecam presiden mereka yang dilihat berbongkok dan menunduk ketika berjabat tangan dengan Almarhum Raja Abdullah di pertemuan G20 pada tahun 2009. Barack juga dikritik ketika membongkok semasa bertemu dengan Emperor Akihito dari Jepun. Bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney dilaporkan sebagai berkata selepas peristiwa itu, pemimpin Amerika tidak seharusnya tunduk hormat kepada sesiapapun. Anehnya, pihak Sekretariat Luar Negara AS punyai pesanan kepada rakyatnya yang ingin berkunjung ke negara-negara Arab.. atau mana-mana negara … jagai dan hormatilah adat dan perundangan setempat.