PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia hari ini mencapai kesepakatan untuk meningkatkan hubungan masyarakat serumpun itu dalam lima bidang strategik dua hala. Kesepakatan dalam bidang berkaitan maritim, tenaga kerja, pendidikan, perdagangan dan pelaburan serta zon masa seragam ASEAN itu dicapai semasa lawatan negara Presiden Indonesia Joko Widodo di Malaysia selama tiga hari bermula semalam. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia menghargai langkah kerajaan republik itu untuk meneruskan tradisi mengukuhkan hubungan dua negara yang disifatkan amat penting, strategik dan berasaskan kebersamaan budaya, sejarah, agama dan sentimen. Bercakap dalam sidang media bersama dengan presiden Indonesia itu hari ini, Najib berkata Malaysia mengalu-alukan lawatan pemimpin Indonesia yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu ke negara ini sejak memegang jawatan presiden pada Oktober tahun lepas. "Kami berdua mempunyai keazaman politik untuk memajukan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia dalam bidang-bidang yang boleh kita majukan secara positif. "Juga apa-apa isu yang belum diselesaikan secara tuntas, kami juga berazam untuk mewujudkan mekanisme tambahan bagi membolehkan kita mencari penyelesaian kepad isu-isu yang belum lagi diputuskan secara menyeluruh," kata Najib. Sidang media itu jelas memperlihatkan keakraban dan semangat serumpun kedua-dua pemimpin itu apabila Najib memanggil Jokowi sebagai 'Bapak Presiden' manakala Jokowi menyebut Najib sebagai 'Bapak Perdana Menteri'. Dalam pertemuan empat mata dan mesyuarat dua hala dengan delegasi masing-masing hari ini, Najib dan Jokowi telah mencapai persetujuan untuk mewujudkan duta khas bagi mengadakan rundingan penerokaan bagi persempadanan maritim. Kedua-dua pemimpin itu turut mencapai kata sepakat bahawa nelayan yang memasuki kawasan pertindihan Malaysia dan Indonesia akan diusir keluar tanpa dikenakan tindakan undang-undang. Nelayan kedua-dua negara yang memasuki perairan sah Indonesia dan Malaysia pula akan dianggap menceroboh, dan bakal dikenakan tindakan. Bagi isu pengambilan pembantu rumah Indonesia, Najib dan Jokowi turut bersetuju supaya hanya satu saluran digunakan bagi memastikan kebajikan dan perlindungan mereka, selain membolehkan pembantu rumah berkenaan mendapat latihan yang sewajarnya. Selain itu, kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk memperluaskan Sekolah Indonesia yang kini terdapat di Sabah, ke negeri Sarawak bagi memberi pendidikan kepada anak-anak pekerja Indonesia di negeri itu. Dalam bidang perdagangan dan pelaburan, Malaysia dan Indonesia akan memberi keutamaan untuk terus menggalakkan perkembangan hubungan dagang kedua-dua negara agar kekal positif, meskipun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu. Jokowi berkata Indonesia mempelawa pelabur Malaysia untuk melabur dalam pembangunan infrastruktur seperti pelabuhan, kereta api, lapangan terbang dan tenaga. Dalam pada itu, Malaysia turut mengalu-alukan pembaharuan ekonomi yang dilakukan kerajaan Indonesia khususnya dalam menghapuskan rasuah dan meningkatkan kecekapan. Najib juga mengumumkan Proton bakal menandatangani memorandum persefahaman dengan rakan perniagaan Indonesia petang ini berhubung kemungkinan merealisasikan projek kereta ASEAN. Malaysia dan Indonesia juga sepakat inisiatif zon waktu seragam ASEAN diberi pertimbangan sewajarnya oleh pertubuhan serantau itu.