suria

Tiada Kenaikan Tarif Elektrik Tahun Ini - Maximus

Maximus Ongkili.
TAWAU: Tiada kenaikan tarif elektrik di seluruh negara sepanjang tahun ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili.

Beliau berkata jaminan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan tidak akan menaikkan tarif elektrik dalam penstrukturan semula Bajet 2015 itu juga turut meliputi keperluan di negeri Sabah.

"Kerajaan pusat memutuskan tidak ada kenaikan harga pada tahun ini. Walaupun mengikut sistem yang dipraktik sekarang, setiap enam bulan kadar ini harus disemak untuk mengurangkan subsidi, namun kerajaan memutuskan tiada kenaikan tarif elektrik pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pasar Tanjong dan Pasar Ikan Tawau, di sini, Khamis.

Maximus berkata, seharusnya, tarif itu naik pada tahun lalu tapi kerajaan mengambil keputusan menanggung subsidi dengan simpanan daripada penjana bebas sebanyak RM800 juta agar tarif tidak dinaikkan.

"Keputusan menaikkan tarif elektrik itu telah pun ditangguhkan meliputi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB).

"Untuk tahun hadapan pula, kita kena tengok harga minyak dahulu, tapi kita harap ia stabil iaitu tidak terlalu tinggi dan juga tidak terlalu rendah kerana ia mempengaruhi ekonomi negara," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai isu harga barang, Maximus yang juga Anggota Parlimen Kota Marudu berkata kerajaan sememangnya menyedari dan mendengar keluhan rakyat.

Katanya, hanya dengan kerjasama semua pihak terutamanya pengeluar, pembekal, peniaga dan pengguna dapat membantu menurunkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak.

"Melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) dan anggota Kabinet persekutuan dan negeri pun telah merayu supaya harga barang diturunkan sesuai dengan penurunan harga minyak," katanya.

Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh, dan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Edwad Yong Oui Fah.

tarif elektrik, Maximus Ongkili

Artikel Sebelum

Artikel Lain