suria

Jokowi Berlepas Ke Brunei

Joko Widodo bersama isterinya,Iriana melambai sebelum berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu. - fotoBERNAMA
SEPANG: Presiden Indonesia Joko Widodo dan isteri Iriana berlepas ke Brunei Darussalam dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini pada 8.45 pagi Sabtu selepas menamatkan lawatan negara sulung ke Malaysia sejak Khamis.

Turut hadir di Kompleks Bunga Raya untuk menghantar presiden Indonesia itu yang lebih mesra dengan panggilan Jokowi ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim. 

Lawatan Jokowi, yang dilantik sebagai presiden Indonesia pada 20 Okt tahun lepas, adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. 

Antara hasil lawatan sulung Jokowi itu ialah pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Proton Holdings Bhd dengan PT Adiperkasa Citra Lestari (PT ACL) dari Indonesia pada Jumaat bagi membantu syarikat itu membangunkan dan mengeluarkan kereta nasional Indonesia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengadakan pertemuan empat mata dengan Jokowi di Putrajaya pada Jumaat. 

Ia diikuti mesyuarat delegasi.

Antara isu yang dipersetujui oleh Malaysia dan Indonesia dalam mesyuarat  itu, mewujudkan duta khas bagi mengadakan rundingan penerokaan bagi persempadanan maritim, hanya satu saluran digunakan bagi pengambilan pembantu rumah Indonesia dan mewujudkan Sekolah Indonesia di Sarawak. 

Ia bagi memberi pendidikan kepada anak-anak pekerja Indonesia di negeri itu.

Jokowi, Brunei

Artikel Sebelum

Artikel Lain