KUANTAN: Seorang anak dipercayai memukul ibunya hingga mati dengan batang cangkul di rumah mereka di Batu 8, Jalan Kuantan-Gambang, di sini, Jumaat. Suspek berusia 20 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan itu selepas mendakwa mendapat arahan daripada suara ghaib. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Hamidah Mat Zin, 47, sedang berehat di ruang tamu. "Suspek dikatakan meracau seorang diri sebaik memasuki ruang tamu, sebelum dia bertindak memukul kepala ibunya bertubi-tubi. Difahamkan, suspek lari meninggalkan rumah berkenaan selepas kejadian. "Anak saudara mangsa yang kebetulan singgah di rumah berkenaan mendapati mangsa berlumuran darah dan tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini. Abdul Aziz berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk mendapatkan rawatan dan anak saudara mangsa turut membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading. Susulan laporan itu, suspek berjaya ditahan. "Kita berjaya menahan suspek yang berada di rumah itu kira-kira dua jam selepas kejadian. Berdasarkan laporan siasatan awal, suspek mengalami masalah sakit mental sejak berusia 16 tahun dan sering mendengar suara ghaib yang mengarahkannya memukul ibunya sehingga mati. "Ibu suspek yang bekerja sebagai pekerja am di Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi tadi. "Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya untuk urusan pengebumian," katanya. Abdul Aziz berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya sudah merampas kayu cangkul yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Suspek kini direman selama seminggu dan kes disiasat kerana menyebabkan kematian.