suria

Tiada Pengganti Anwar Lagi

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat masih belum menentukan pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya ketua pembangkang itu gagal dalam rayuannya untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Selasa ini.

Menurut Anwar, mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang berlangsung selama hampir dua jam pada Ahad itu tidak menyentuh mengenai siapa penggantinya untuk memimpin pakatan pembangkang.

"Tidak (bincang pengganti)...hanya bincang akan buat mesyuarat selepas keputusan mahkamah nanti," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS di sini.

Terdahulu pada sidang media yang sama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat sekali lagi selepas Mahkamah Persekutuan membacakan keputusan kes liwat Anwar.

"Majlis Pimpinan bersetuju untuk bermesyuarat semula sejurus selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan pada 10 Februari ini," katanya.

Tambah Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Pakatan Rakyat menyifatkan kes liwat kedua Anwar itu sebagai perbicaraan bermotifkan politik.

"Menjelang hari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam Kes Fitnah II, ketiga-tiga parti mengulangi tekad dan memberikan jaminan bahawa perjuangan bersama di dalam Pakatan Rakyat akan terus dipertahankan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain