suria

Pasar Cantik, Poket Kosong - Peniaga Pasar Chow Kit

KUALA LUMPUR: Selesa dan cantik dipandang, tetapi rupa-rupanya ada kisah kurang enak di sebalik Pasar Transit Jalan Raja Bot, atau dulunya lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit.

Secara luaran, pasar tersebut dilihat tidak kurang meriah berbanding pasar lama yang sebahagian strukturnya telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks pasar baharu, namun masalah dan kebimbangan yang dihadapi peniaga di dalamnya tiada siapa yang tahu.

Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kawasan Chow Kit, Yusnaidi Idrus berkata, dari pandangan hadapan, pasar transit tersebut kelihatan sempurna, tetapi sejak dipindahkan ke situ, pendapatan sebahagian peniaga ‘tidak sesempurna’ dulu.

Katanya, selain ‘kekeringan’ pelanggan kerana peniaga ditempatkan di lokasi tidak strategik, timbul isu kemudahan asas seperti tandas rosak, tiada bekalan air dan elektrik, sekali gus menimbulkan masalah buat peniaga dan pelanggan.

"Pendapatan peniaga jatuh antara 30 hingga 70 peratus, terutama yang dipindahkan di bahagian belakang dan yang berniaga di pasar lama yang bakal dirobohkan.

"Ada yang langsung tutup kedai dan kerja makan gaji kerana kurang pelanggan dan pendapatan terjejas teruk," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini mStar Online menyiarkan laporan khas bertajuk ‘Transformasi Pasar Chow Kit Bakal Kikis Budaya Niaga Di Takuk Lama’ dalam usaha kerajaan mewujudkan kompleks pasar moden di tapak sama. 

Yusnaidi atau lebih senang disapa sebagai Edi kemudian mendedahkan bahawa di sebalik keindahan pasar itu, nasib peniaga, terutama di Zon 1B dan Zon 1C wajar diberi perhatian dan mendapat pembelaan segera kerana kesannya mula dirasai.

“Sementara tunggu pasar baharu siap pada 2017, tak pasti bisnes kita sekarang dapat bertahan atau tidak.

“Sekarang pun timbul macam-macam masalah. Pasar dijangka siap pada 2017 tapi tengok proses pembinaannya, kita rasa ia mungkin makan masa lebih panjang,” katanya.

Jelasnya, kedudukan dua zon tersebut di belakang dan tersembunyi, ditambah pula tiadanya papan tanda promosi seperti yang dijanjikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum peniaga dipindahkan menyebabkan bahagian itu terus sunyi dan terpinggir.

Beliau berkata, walaupun kemudahan di Zon 1C hampir lengkap, bersih dan selesa, namun ia tidak memberi makna apabila kewujudannya tidak diketahui, khususnya di tingkat satu yang mempunyai medan selera.

"Kebanyakan yang makan di medan selera adalah rakan peniaga di sini saja.

“Ramai pelanggan lebih suka makan atau beli makanan di luar yang mudah untuk mereka. Di medan selera pula, kalau ada pelanggan sesat, adalah rezeki peniaga,” katanya.

Katanya, beberapa inisiatif sendiri terpaksa diambil oleh persatuan termasuk memasang bannner untuk promosi kerana mendakwa DBKL tidak menunaikan janji memasang papan tanda.

Mengenai nasib peniaga di pasar asal, beliau berkata, selain perlu berniaga dalam suasana suram dan gelap, peniaga terpaksa berkongsi bekalan elektrik antara satu sama lain dan mendapatkan bekalan air dari satu punca paip.

Jelasnya, peniaga di Zon 1A ‘terselamat’ kerana terletak di  hadapan, namun cadangan asal yang menetapkan peniaga di situ hanya menjual buah-buahan dan sayur-sayuran terpaksa diabaikan peniaga apabila mereka terpaksa mencampur-adukkannya dengan barang jualan lain untuk menyelamatkan 'periuk nasi' masing-masing.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan  aduan melalui Perbadanan Kampung Baru (PKB) untuk disampaikan kepada DBKL namun sehingga kini belum mendapat maklum balas.

Kesal nasib peniaga tidak diberi perhatian, beliau berkata, DBKL sepatutnya mengambil tahu perkembangan peniaga setelah dipindahkan dan mengadakan mesyuarat dengan wakil peniaga untuk mendengar luahan hati dan cadangan dalam memastikan setiap pihak dapat menjalankan urusan dengan lancar.

“Kita minta DBKL buat perjumpaan, sebelum pindah boleh buat, bila dah pindah tak ambil tahu, boleh hidup ke peniaga kat sini. Kesannya dah rasa sekarang sedangkan projek lama lagi nak siap,” katanya.

mStar Online kini sedang dalam proses mendapatkan maklum balas daripada DBKL dan pihak lain yang bertanggungjawab berhubung masalah ini.

Artikel Sebelum

Anwar Yakin Tak Bersalah

Artikel Berikut

Artikel Lain