PETALING JAYA: Bekas Presiden Filipina Joseph Ejercito Estrada menyatakan sokongan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung berhubung kes Liwat II pemimpin berkenaan menerusi sepucuk surat. Dalam surat tidak bertarikh yang didedahkan pada Isnin, Estrada berkata Anwar sedang melalui satu tempoh mencabar dan sebagai rakan, beliau yakin Anwar tidak bersalah. "Saya penuh keyakinan menyatakan Anwar tidak bersalah dalam kes ini, bukan hanya kerana beliau rakan saya, tetapi juga kerana saya mengenali beliau sebagai pemimpin yang baik dan dihormati," katanya melalui sepucuk surat yang dikeluarkan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Estrada yang kini merupakan Datuk Bandar Manila berkata, beliau berada bersama-sama penyokong Anwar untuk pembebasan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu. Katanya, beliau percaya bahawa rakannya itu menjadi mangsa ketidakadilan politik selepas dilihat melalui pahit getirnya dalam perjuangan untuk melakukan perubahan demokrasi untuk negaranya. Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan kes Anwar, 67, pada Selasa berhubung rayuannya terhadap sabitan kesalahannya dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 30, di kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.