KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan perundangan terhadap sesiapa yang cuba mencetuskan kekecohan berikutan keputusan rayuan terakhir Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, pada Selasa. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menggugat keamanan, keselamatan dan ketenteraman negara. "Kita memang bersiap sedia dengan kekuatan anggota yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan. "Tidak kira penyokong Anwar atau Saiful (Mohd Saiful Bukhari Azlan), keputusan mahkamah perlu dihormati," katanya. Sehubungan itu, Khalid meminta penyokong kedua-dua pihak supaya tidak melakukan sebarang kekecohan dengan berselindung di sebalik alasan kebebasan bersuara. Pada Selasa, Anwar yang disabitkan oleh Mahkamah Rayuan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, akan tahu sama ada beliau akan meringkuk di penjara atau bebas. Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan yang ditunggu-tunggu berhubung rayuan terakhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya. Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Sementara itu, semua laluan masuk ke Istana Kehakiman akan dikawal rapi serta semua pintu pagar 'roller shutter' akan ditutup pada pukul 8.30 pagi Selasa. Pihak pengurusan Istana Kehakiman melalui notis yang ditampal di bangunan mahkamah memaklumkan jalan utama hadapan bangunan Istana Kehakiman akan ditutup mulai pukul 8 malam Isnin. Semua warga Istana Kehakiman diminta menggunakan laluan masuk dari arah belakang bangunan itu (Istana Kehakiman) untuk memasuki parkir kakitangan mulai pagi Selasa.