KUALA LUMPUR: Polis akan menjalankan siasatan terhadap anggota exco Pulau Pinang, Chong Eng, kerana dipercayai mengkritik khutbah Jumaat berkenaan isu menutup aurat. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menerusi status akaun twitternya malam Isnin, berkata Chong Eng akan disiasat di bawah Seksyen 298 Akta Kanun Keseksaan. "PDRM telah berkali-kali mengingatkan orang awam supaya berhati-hati membuat komen yang menyentuh sensitiviti perkauman dan agama, tetapi tidak juga diendahkan," katanya. Media dalam talian melaporkan Chong Eng dalam kenyataannya pada Isnin mengkritik khutbah Jumaat minggu lepas oleh Jabatan Agama Islam yang bertajuk 'Aurat: Antara Kebebasan dan Maruah Diri'. Laporan itu memetik Chong Eng yang menyifatkan mesej tutup aurat tidak membantu wanita daripada serangan seksual dan penderaan.