PUTRAJAYA: Walaupun sedih dan kecewa, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan hukuman penjara lima tahun ke atas suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu pengorbanan besar. Menurut Dr Wan Azizah, pengalaman keduanya terpaksa berhadapan situasi melihat Anwar dipenjarakan adalah sebahagian daripada perjuangan yang perlu dilaluinya. “Alhamdulillah, ini adalah perjuangan kita. Mungkin ini adalah sedikit pengorbanan Anwar terutamanya kepada saya serta keluarga, anak-anak, cucu…ini adalah perjuangan. “Perjuangan ini bukan sahaja untuk Anwar tapi untuk semua rakyat,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui pemberita di luar Mahkamah Persekutuan di sini, Selasa. Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar setelah menolak rayuannya terhadap sabbatic dan hukuman penjara itu bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu. Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Shariff serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali. Sebelum ini pada 14 April 1999, Anwar didapati bersalah dan dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini atas empat tuduhan rasuah terhadapnya. Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata, pakatan pembangkang perlu terus diperkukuhkan walaupun tanpa Anwar. “Kita akan perkukuhkan dan perkuatkan lagi pakatan. Kita mesti ubah sistem yang menggunakan apa sahaja cara untuk melawan kuasa politik,” katanya. Ditanya megenai pengganti Anwar sebagai ketua pembangkang, Dr Wan Azizah berkata, ia akan diputusakan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat malam ini.