PETALING JAYA: Polis menahan kartunis Zunar berhubung tulisan di Twitternya yang mempersendakan institusi kehakiman selepas Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata Zunar ditahan di hadapan kediamannya di Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam. Zainuddin berkata Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque, akan disiasat dibawah Akta Hasutan 1948. Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan unit Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) untuk menjejaki dan menyiasat Zunar. Zunar sebelum ini ada mengeluarkan kenyataan di laman sosial Twitter menyebut: “Barua berjubah hitam bangga jatuhkan hukuman. Habuan dari tuan politik pasti lumayan.” selepas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara berkaitan kes liwat.