PUTRAJAYA: Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel pada Rabu melantik pengerusi bahagian Raub K.Tamil Selvam sebagai ketua perhubungan MIC Pahang menggantikan Senator Datuk R. Goonasegaran. Goonasegaran yang dilantik ke jawatan itu pada 2013, telah diberitahu mengenai keputusan itu menerusi sepucuk surat pada Rabu. Pada Isnin, Palanivel mengumumkan senarai ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) berikutan arahan Kementerian Dalam Negeri supaya parti itu mengadakan semula pemilihan parti. Katanya, Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah mengarahkan anggota CWC yang dipilih pada 2009 membentuk sebuah jawatankuasa sementara dengan tujuan mengadakan pemilihan semula itu. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti berusia 68 tahun itu perlu mengadakan pemilihan semula bagi semua jawatan yang dipilih antara April dan Julai bagi mengelakkan pendaftarannya dibatalkan. Arahan itu dibuat oleh RoS bagi menentukan pertikaian berhubung pemilihan jawatankuasa parti itu dapat selesaikan.