suria

Anwar Ke Penjara, Pakatan Rakyat Insaf

PETALING JAYA: Sehari selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun, pakatan pembangkang berikrar untuk menyelesaikan semua pertikaian yang wujud di antara komponen itu.

Menerusi kenyataan bersama Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat, pakatan itu yakin kerjasama politik mereka dapat terus diperkukuhkan walaupun tanpa Anwar.

"Pakatan Rakyat yang merupakan gabungan parti pembangkang paling kuat dalam sejarah Malaysia ini akan terus dipertahankan.

"Kami yakin sebarang perselisihan yang timbul akan segera diatasi demi kelangsungan perjuangan rakyat. Inilah masanya pemimpin Pakatan Rakyat di semua peringkat merapatkan saf berdepan dengan cabaran semasa negara," demikian menurut kenyataan itu pada Rabu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Selain itu majlis tersebut memaklumkan bahawa mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan diadakan pada Jumaat ini bagi membincangkan mengenai langkah susulan selepas Anwar dipenjarakan.

"Majlis Setiausaha yang bermesyuarat semalam (Selasa) telah membincangkan beberapa program penerangan kepada rakyat dan akan membentangkannya dalam Majlis Pimpinan akan datang yang akan dibuat pada petang Jumaat 13 Februari," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, pakatan pembangkang itu turut mengutuk keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Anwar.

"Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat mengutuk keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Datuk Seri Anwar dan seterusnya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas beliau.

"Buat kesekian kalinya sistem perundangan di Malaysia hilang kredibilitinya. Kes ini akan menambahkan lagi senarai bukti kukuh segala jenis penganiayaan dan tekanan kepada pembangkang di Malaysia," katanya.

Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain