suria

Anggota Polis dan Tunang Sesat Ketika Mendaki

GEORGE TOWN: Seorang anggota polis bersama tunangnya tersesat ketika mendaki di Bukit Jambul di sini, pada Selasa malam.

Penolong Kanan Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak Mohd Fauzi Suid berkata 15 anggota bersama sebuah jentera digegaskan ke tempat kejadian apabila pihaknya menerima panggilan daripada anggota polis itu pada pukul 8.11 malam.

Beliau berkata pasukan menyelamat dapat menjejaki kedudukan pasangan itu pada pukul 9.23 malam dan mengambil masa hampir satu jam untuk membawa kedua-duanya turun ke kaki bukit.

"Gerakan mencari agak sukar kerana selain keadaan gelap tiada tempat pemeriksaan atau tanda tempat khusus yang dapat dijadikan penanda kedudukan sebenar mereka," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau yang turut mengetuai operasi itu berkata Ahmad Tarmizi Muriza, 27, dan Noor Hassu Diyana Basir, 27, tidak cedera.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata mereka cuba mengelak daripada dikejar sekumpulan anjing ketika tiba di puncak bukit sehingga terkeluar dari laluan pendaki ketika menuruni bukit.

"Kami mula mendaki pukul 6 petang, tiba di puncak ada tiga hingga empat ekor anjing dan apabila anjing itu mula menyalak kami panik dan tersilap jalan turun," kata anggota polis yang bertugas di Kuala Lipis, Pahang itu.

Polis, Bukit Jambul

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain