suria

Tiada Layanan Luar Biasa Untuk Anwar - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada layanan luar biasa diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang itu menerima layanan sama rata seperti banduan lain mengikut peruntukan undang-undang.

"Jabatan Penjara melayan semua orang di penjara itu secara saksama sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang dan peraturan penjara.

"Saya mengesahkan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menyedari terdapat kegusaran tentang layanan yang diterima ketua pembangkang itu yang dipenjarakan kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Selepas Anwar dibawa ke penjara, timbul beberapa dakwaan termasuklah dakwaan beliau menerima layanan istimewa, manakala dari pihak keluarga Anwar, timbul kebimbangan berbeza iaitu kebimbangan dari segi keselamatan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, terdapat dua jenis kurungan di penjara iaitu jenis bilik dan sel dan Anwar kini ditempatkan di sebuah bilik.

Katanya, pada peringkat ini, seperti banduan lain yang baharu dijatuhkan hukuman, Anwar perlu memakai pakaian banduan berkolar merah.

"Layanan sama sahaja, sebagai seorang yang 'mendapat liputan meluas', dia ditempatkan seorang di dalam sebuah bilik, tapi ada lagi banduan yang ditempatkan di bilik, bukan dia seorang sahaja," katanya.

Katanya, peralatan dan kemudahan yang terdapat dalam bilik tersebut adalah sama dengan yang terdapat di bilik atau sel lain, iaitu tilam dan dulang makanan.

Zulkifli berkata, dari segi layanan, makanan, peralatan dan jadual pertemuan dengan ahli keluarga, tiada perbezaan di antara Anwar dan banduan lain.

Jelasnya, pada peringkat 'kolar merah' dia hanya dibenarkan bertemu keluarganya sebulan sekali dan tempoh itu akan berubah mengikut peringkat.

Ditanya sama ada Anwar ada membuat permintaan khusus, beliau berkata: "Setakat ini tiada. Kalau dia minta buku-buku kita akan beri."


Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan