PETALING JAYA: Datuk Seri Liow Tiong Lai menafikan beliau mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bersetuju menghentikan serta-merta isu boikot peniaga. Presiden MCA itu memaklumkan perkara itu menerusi tweet miliknya pada pukul 4.08 petang, Khamis kurang sejam selepas Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) menghebahkan kenyataan media bersama kedua-dua menteri Kabinet itu. "Saya tidak dihubungi atau berbincang dengan Datuk Seri Ismail Sabri hari ini, jadi bagaimana kenyataan bersama itu dikeluarkan dan diedarkan adalah suatu teka-teki," katanya. Kenyataan terbaharu Menteri Pengangkutan ini sekali gus mengetepikan kenyataan Ismail Sabri berhubung pertemuan mereka dan juga persetujuan untuk menghentikan serta-merta polemik berkaitan isu boikot peniaga yang tercetus pada 1 Februari lalu. Menerusi kenyataan bersama itu, Ismail Sabri berkata:"Hari ini saya telah membincangkan perkara ini semula dengan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tong Lai sejajar dengan semangat muafakat Barisan Nasional (BN). "Kabinet juga telah bersetuju bahawa isu ini perlu dihentikan serta-merta kerana BN akan terus membela dan menjaga kepentingan semua kaum. Kami bersetuju semua pihak perlu bergerak ke hadapan dan sama-sama memberi fokus kepada usaha untuk menurunkan harga barang." Ismail Sabri juga menerusi kenyataan media yang sama, menyatakan kekesalannya apabila komennya di laman Facebook yang dibuat secara tertutup telah 'diviralkan' dan disalah-tafsir.