KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel menafikan akan mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) sementara MIC pada Jumaat. Beliau berkata 'Encik Sakhtivel Alagappan' yang mengeluarkan notis mesyuarat tergempar itu, adalah tidak sah kerana beliau bukan setiausaha agung parti ataupun anggota CWC sementara. Palanivel berkata pada 9 Februari lepas beliau telah melantik seorang anggota CWC sementara Datuk S. Sothinathan sebagai setiausaha agung parti yang baharu, dan telah memaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai pelantikan itu. Katanya hak tunggal dan mutlak untuk pelantikan setiausaha agung parti, bendahari agung dan pegawai penerangan adalah beliau selaku presiden parti seperti mana Perkara 46.5 dan 49 Perlembagaan MIC. "Sehubungan itu, notis mesyuarat tergempar CWC sementara MIC itu adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah," dan dengan itu mana-mana mesyuarat yang diadakan berdasarkan rekuisisi atau notis itu hendaklah juga dianggap menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah," katanya dalam kenyataan pada Khamis. Sakthivel dilantik sebagai setiausaha agung oleh Palanivel pada Mei 2014, dan memegang jawatan itu kira-kira tujuh bulan sebelum diganti A.Prakash Rao. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata parti berusia 68 tahun itu perlu mengadakan pilihan raya baharu untuk semua jawatan yang dipilih antara April dan Julai tahun ini untuk mengelak daripada dibatalkan pendaftarannya. Krisis itu timbul selepas perbezaan pendapat apabila ROS membatalkan pemilihan tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan CWC pada pemilihan agung parti yang diadakan di Melaka pada November 2013 berikutan aduan penyelewengan. Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula untuk jawatan itu dalam tempoh 90 hari.