suria

Peniaga Perlu Patuh Harga Skim Kawalan Musim Perayaan - KPDNKK

GEORGE TOWN: Para peniaga di seluruh negara diminta untuk mematuhi harga barangan yang ditetapkan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2015, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Bashah berkata pematuhan itu perlu diikuti peniaga bagi membolehkan pengguna memperolehi barangan keperluan di musim perayaan dengan harga yang berpatutan selain sebagai satu langkah kerajaan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

"Kita harap peniaga dapat patuhi syarat dengan menjual barangan pada harga yang ditetapkan oleh skim ini. Bukan banyak pun cuma 12 barang sahaja dan skim ini hanya mengambil masa selama 12 hari sahaja bermula hari ini dan ia berakhir 25 Feb depan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bagi meninjau harga barangan di Pasaraya Sunshine dekat sini, pada Sabtu.

Ahmad Bashah berkata para peniaga juga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan barangan itu dengan barangan lain.

"Walau bagaimanapun peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan sekiranya harga yang diperoleh mereka lebih rendah," katanya.

Beliau berkata skim itu dilancarkan Isnin lepas oleh menteri berkenaan Datuk Seri Hasan Malek yang menggariskan sebanyak 12 barang telah dikuatkuasakan untuk harga maksimum di bawah skim berkenaan.

Antara barangan itu ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur gred A, B dan C, ikan bawal putih dan daging babi.

Dalam pada itu Ahmad Bashah turut mengingatkan peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim kawalan harga itu.

"Dalam hal ini, tiada amaran lagi diberikan kepada peniaga, sesiapa yang ingkar dan melakukan kesalahan tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011 yang boleh dikenakan denda dan kompaun," katanya.

KPDNKK, Harga Kawalan

Artikel Lain