suria

Penjual Sayur Lompat Keluar Sebelum Van Terbakar

JELEBU: Seorang penjual sayur mengalami detik cemas apabila vannya terbakar di hadapan Dewan D'Sury di Majlis Daerah Kuala Klawang, dekat sini, Ahad.

Chong Soi Chang, 76, berkata kejadian pada 9.07 pagi itu berlaku ketika dia baru sahaja meletakkan van jenis Subaru itu di tempat letak kenderaan untuk berniaga di pasar tani di kawasan berkenaan.

"Tiba-tiba, saya terlihat asap putih keluar berkepul-kepul dari bahagian enjin lalu saya bergegas keluar dari kenderaan dan terus menghubungi pihak bomba dengan segera," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu, Kamarulhuzaimi Harith berkata enam anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

"Api dapat dikawal selama tiga minit dan padam sepenuhnya lima minit kemudian. Jumlah kerugian masih disiasat manakala punca kejadian berkemungkinan disebabkan oleh masalah pendawaian pada enjin.

"Kebakaran tersebut menyebabkan enjin van berkenaan mengalami kemusnahan seratus peratus," katanya.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan, katanya.

Sayur, Terbakar

Artikel Lain