KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat masih belum memutuskan calon sesuai untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, kata Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohamad Hatta Ramli. Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS percaya kepimpinan parti sudah mengatur perancangan untuk menghadapi PRK itu. Mengenai PRK Permatang Pauh, Dr Hatta bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha sebagai calon yang akan menggantikan kerusi bapanya itu. "Kita belum putuskan sebarang calon. Saya percaya kepimpinan parti itu sudah ada perancangan mereka. Lagipun kerusi Permatang Pauh masih belum diisytiharkan kosong," katanya pada sidang media di Pusat Komuniti Ahli Parlimen Lembah Pantai pada Isnin. Namun, beliau yakin Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menurunkan calon terbaik dalam meneruskan perjuangan Anwar. "Insya-Allah, parti itu (PKR) akan letak calon terbaik untuk teruskan perjuangan Anwar," katanya. Sementara itu, mengenai PRK DUN Chempaka pula, Dr Hatta berkata, PAS juga belum membincangkan mengenainya kerana masih dalam tempoh berkabung. "Setakat ini kita belum bincangkan... masih dalam tempoh berkabung," katanya. Bagaimanapun, jelas beliau, PAS akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan calon yang sesuai untuk diturunkan di kerusi tersebut. Malah, beliau turut meminta Barisan Nasional (BN) supaya konsisten dengan pendirian untuk tidak bertanding di DUN Cempaka selepas kerusi tersebut diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. "Kalau mereka rasa tidak perlu bertanding di DUN Cempaka, mereka juga perlu lakukan perkara sama di Permatang Pauh seperti yang mereka pernah lakukan di Bukit Gelugor. Pendirian kena konsisten," katanya. Menurut beliau, PAS bagaimanapun bersedia untuk menghadapi PRK di DUN tersebut kerana yakin mampu mempertahankan kerusi berkenaan. "Insya-Allah kita boleh ulangi kejayaan dan mungkin lebih baik lagi," katanya.