suria

Muhyiddin Lawat KLIA2

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menurunkan tandatangannya pada plak bagi menandakan perasmian Kedai Bebas Cukai Emporium Eraman di Terminal Perlepasan Antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang, Isnin. Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi MAHB Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz dan Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali. -fotoBERNAMA
SEPANG: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini bagi mendapatkan perkembangan terkini pembinaan terminal mega yang dibina khas bagi operasi penerbangan tambang murah.

Muhyiddin meluangkan masa dua jam di lapangan terbang itu yang antara lain menghadiri taklimat tertutup mengenai perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan disampaikan oleh pengarah urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali dan meninjau terminal itu.

Lapangan terbang itu, yang memulakan operasinya 2 Mei tahun lepas, berkeupayaan menampung sehingga 45 juta penumpang setahun.

Sempena lawatan itu, Muhyiddin juga melancarkan Emporium Pelepasan Antarabangsa Eraman, cabang peruncitan MAHB, di Aras 2, kawasan kedai runcit terbesar yang dikendalikan Eraman setakat ini.

Emporium dengan keluasan 3,000 kaki persegi itu menampilkan ruang berjalan kaki terbuka melalui konsep reka bentuk seni bina moden dan mesra pelanggan.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya  Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Dalam satu kenyataan sempena lawatan itu, pengendali lapangan terbang itu berkata sebagai sebuah projek awam yang dibiayai secara persendirian, KLIA2 merupakan penyumbang utama kepada satu daripada pakej rangsangan penswastaan yang diumumkan kerajaan pada 2009.

Sementara itu, MAHB juga menyampaikan cek RM10,000 dalam usaha mereka membantu mangsa banjir kepada Sekolah Kebangsaan Che Latiff, Kota Bharu, Kelantan, disaksikan Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain