BANGI: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, dijangka diumumkan menjelang akhir Mac, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh. Beliau berkata, pelan pembangunan itu bertujuan untuk mentransformasi dan meningkatkan standard pendidikan tinggi di negara ini dan melahirkan Bakat Terpelajar Dipacu Nilai yang seimbang dan holistik serta mempunyai minda keusahawanan dan jati diri nasional. Idris berkata, pelan itu juga bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan mempunyai minda keusahawanan. "Bila saya sebut holistik, kita mahu pelajar yang boleh berkomunikasi dengan baik, berkemahiran dan pandai dalam teknologi. "Dengan minda keusahawanan bermakna para pelajar akan menjadi lebih kreatif, inovatif dan tahu membuat keputusan manakala keseimbangan bermaksud untuk memastikan keseimbangan antara akademik dan akhlak," katanya semasa berucap pada pelancaran program Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), 'TNB Better Brighter Internship' dan Makmal Grid Pintar di sini, Isnin.