PETALING JAYA: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam menafikan beliau bersetuju untuk membenarkan Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran parti itu. "Saya menafikan sama sekali bahawa adanya persetujuan untuk membenarkan Barisan Nasional (BN) mengambil alih MIC sepenuhnya seperti mana kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengelirukan. "Sebagai pemimpin MIC, saya ingin menegaskan, walaupun berhadapan masalah, kami tidak akan bertolak ansur dalam hal membabitkan integriti dan maruah parti. "Apa yang berlaku hanya perbincangan mengenai BN yang akan bertindak sebagai fasilitator dalam menyelesaikan pertikaian yang berlaku. Tiada cadangan untuk Barisan mengambil alih MIC," kata Dr Subramaniam dalam kenyataan di sini, Isnin. Jelasnya lagi, pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tengku Adnan pada pagi Isnin membuat beberapa ketetapan termasuk MIC perlu menangani isu ini mengikut arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan 32 ahli yang dilantik sebagai Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada 2009 perlu membentuk CWC Interim untuk mengendalikan pemilihan semula parti itu. Dr Subramaniam berkata, tiada ahli dilantik akan termasuk dalam CWC Interim seperti mana yang dinyatakan dalam surat ROS. "Sekretariat yang akan dibentuk BN pula akan bertindak sebagai fasilitator termasuk memastikan maklumat mesyuarat dihantar kepada semua 32 ahli CWC. "Jadi dimana peranan untuk BN mengambil alih MIC secara keseluruhannya," soalnya. Beliau juga menegaskan bahawa CWC Interim itu berupaya mengendalikan pemilihan semula dan menangani isu dalaman parti itu. Malahan, beliau juga mendakwa Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel bertanggungjawab terhadap krisis yang melanda parti itu kerana ketidaktetapan ketika pemilihan MIC secara langsung atau tidak berkait dengan pemimpin nombor satu pari itu. "Ketidakupayaan dan keengganannya untuk menangani isu ini menyebabkan berlakunya krisis ketika ini. "Pada pertemuan dengan Najib sebelum ini, Palanivel bersetuju untuk melaksanakan arahan ROS menerusi surat bertarikh 6 Februari. "Bagaimanapun, dia mengubah fikiran keesokkan harinya dan memburukkan lagi keadaan," katanya. Beliau juga mengkritik Palanivel kerana mengheret ROS ke mahkamah kerana ia akan mengakibatkan kemelut yang melandar parti itu berpanjangan, sekali gus menggugat kestabilan MIC.