suria

MIC: CWC 2009 Akur Arahan RoS, Akan Selesai Krisis Parti - Subramaniam

Datuk Seri Dr S.Subramaniam
PUTRAJAYA: Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC 2009 akan akur kepada arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan menyelesaikan krisis parti itu, kata timbalan presiden parti Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Selasa.

"Kami akan melaksanakan apa yang disampaikan kepada kami oleh RoS untuk membawa parti maju ke hadapan," katanya.

RoS mengarahkan MIC supaya mengadakan pemilihan semula bagi semua jawatan yang dipilih antara April dan Julai tahun ini. 

Ia juga mahu parti itu membersihkan senarai pemilih dan cawangan yang diwujudkan pada 2012 memandangkan hanya senarai serta cawangan berkenaan sahaja yang sah bagi pemilihan semula itu.

RoS telah pun membatalkan pemilihan parti yang diadakan pada 2013 berikutan aduan penyelewengan.

Dr Subramaniam, yang juga menteri kesihatan, ditanya pemberita sama ada CWC akan berbincang dan memanggil mesyuarat agung tergempar parti tanpa kehadiran presiden parti, Datuk Seri G. Palanivel.

Palanivel sebelum ini berkata beliau mahu membawa RoS ke mahkamah berhubung pembatalan pemilihan parti 2013.

Dr Subramaniam, yang sebelum itu melancarkan aplikasi MyNutriDiari di kementerian itu, berkata CWC akan mengadakan mesyuarat dan diberi kuasa untuk membuat keputusan selagi kuorum mencukupi. 

Beliau menegaskan krisis MIC perlu diselesaikan segera supaya parti boleh terus maju ke hadapan dan memberi tumpuan untuk membantu Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata tindakan Palanivel untuk mencabar keputusan RoS di mahkamah adalah membuang masa memandangkan langkah itu akan mengakibatkan parti menjadi tidak stabil serta lemah, dan secara tidak langsung menjejaskan BN.

"Proses yang dilewatkan dan berpanjangan adalah satu penyiksaan, dan 2017, 2018 tidaklah begitu jauh. Kami memerlukan MIC bergerak aktif di banyak tempat. Kami perlu menyelesaikan isu ini segera dan jika kami menangguhkannya, dan menyelesaikannya pada akhir 2016/2017, ia akan memberi tamparan hebat buat MIC dan menjejaskan kami semua dengan teruk sekali," katanya.

Ditanya sama ada CWC akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), Dr Subramaniam berkata EGM merupakan satu pilihan namun beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan mesyuarat itu berdasarkan perlembagaan MIC.

"Perlembagaan menyebut hanya pengerusi bahagian atau CWC boleh mengadakan EGM. Terpulanglah kepada mereka," katanya.

Perlembagaan parti menyebut bahawa kuorum dibentuk oleh 15 pengerusi bahagian atau anggota CWC. 

Ditanya tentang Palanivel yang tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan sekretariat BN untuk membantu menyelesaikan kemelut dalam parti itu, Dr Subramaniam berkata sekretariat itu hanyalah bertindak sebagai pemudah cara dan bukan untuk mengendalikan keseluruhan pemilihan.

"Saya dimaklumkan matlamat utamanya adalah untuk BN membantu parti menyelesaikan masalah dan bukannya mencampuri dalam pengendalian parti atau pemilihan.

"Kuasa diberi kepada CWC 2009 untuk mengendalikan pemilihan. CWC akan membuat penyenaraian cawangan dan sebagainya," katanya.

Pada Isnin, Palanivel menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan BN untuk mewujudkan sekretariat untuk membantu menyelesaikan masalah dalam parti itu, dan menyifatkan cadangan itu sebagai amat membimbangkan.

Cadangan penubuhan sektretariat BN dibangkitkan dalam mesyuarat semalam antara Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Dr Subramaniam. 

Palanivel tidak menghadiri mesyuarat itu.

Artikel Lain