suria

Bukit Aman Kerjasama Dengan SKMM Kesan Lelaki Bertopeng Dalam Video 'Ala IS'

KUALA LUMPUR: Bukit Aman akan bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan empat lelaki bertopeng di dalam video yang mengancam untuk 'meletupkan' mahkamah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh  berkata polis telah melancarkan siasatan ke atas video itu yang dikatakan mempunyai bentuk ancaman seperti kumpulan pengganas negara Islam (IS).

"Dalang akan dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kes itu telah diklasifikasikan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan (percubaan untuk menjalankan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata Bukit Aman akan menilai keadaan selanjutnya dan membuat 'persiapan keselamatan yang sesuai'.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pula berkata sesiapa sahaja yang mengancam ketenteraman awam 'akan menerima akibatnya'.

Ketua Polis Daerah Sentul Komisioner R. Munusamy berkata pegawainya bersedia untuk sebarang kemungkinan bahawa satu peristiwa yang tidak diingini akan berlaku di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini (Rabu).

Apabila ditanya sama ada polis akan bersiap sedia di mahkamah, Munusamy berkata perkara itu sedang disiasat dan polis akan mengambil tindakan yang dianggap perlu.

"Kami masih mengumpul perisikan mengenai kes itu.

"Kami akan bertindak sewajarnya dengan maklumat yang ada," katanya kepada pemberita.

Klip video tersebut menjadi viral seminggu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman lima tahun penjara terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kesalahan meliwat bekas pembantunya.

Menerusi video berdurasi satu minit yang dimuat naik dalam akaun Youtube 'Isis Malaysia 69' pada Ahad, salah seorang daripada empat lelaki mengisytiharkan bahawa tindakan mereka itu sebagai memberi isyarat awal protes mereka terhadap sistem demokrasi yang dikatakan telah rosak.

Salah seorang daripada mereka juga dilihat mengacukan koktel Molotov manakala tiga botol bom tersebut disusun di atas meja di hadapan mereka sambil bendera Malaysia telah digantung di bahagian belakang.

Walaupun tidak menyatakan apa yang telah mencetuskan kemarahan mereka, salah seorang daripada empat lelaki mengisytiharkan bahawa tindakan mereka sebagi memberi isyarat awal protes mereka terhadap kerosakan demokrasi.

"Kepada mana-mana parti yang telah terlalu lama memerintah, kami Anak Muda Malaysia tahun 2015, dengan ini mengumumkan hasil manipulasi tipu helah selama ini, menggunakan demokrasi, hari ini kami mengisytiharkan kami tidak lagi percaya kepada sistem demokrasi.  

"Andalah yang membentuk kami. Kami terbentuk hasil dari tangan-tangan anda. Untuk permulaan, sesuai dengan kemampuan permulaan kami terhadap ketidakpercayaan kepada demokrasi ini, kami akan melakukan satu aksi bantahan terhadap sistem keadilan mahkamah pada 18 Februari 2015 jam 11.30 malam.

"Kami akan membakar mercun di mahkamah simbolik kepada kehancuran sebahagian alat dalam sistem demokrasi. Kami baru bermula dan akan pergi lebih jauh. Semakin rosak demokrasi yang anda musnahkan, semakin berkembang dan jauh cara kami menentang," kata seorang lelaki yang duduk sambil memegang gambar pelakon Nra Danish.

Bagaimanapun mereka tidak menyatakan mahkamah yang akan menjadi sasaran mereka.

Mereka kemudian mengakhiri amaran mereka dengan perkataan kesat.

Artikel Lain